Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berbual dengan Haikal Faiz semasa menyertai misi SIRIM Berhad membersihkan kediaman mereka yang ditenggelami banjir di Padang Jawa, dekat Shah Alam pada 23 Disember 2021. - Gambar SIRIM
SHAH ALAM 24 Dis - SIRIM dan MITI menanggung sepenuhnya perbelanjaan pendidikan satu-satunya anak yang tidak terlibat dalam nahas sembilan sekeluarga, Haikal Faiz.
Bapa Haikal, Abdul Razak Majit adalah mangsa kemalangan di Lebuhraya Elite baru-baru ini, yang mengorbankan isteri dan lapan orang anaknya. Beliau juga adalah pengawal keselamatan SIRIM Berhad (Agensi MITI).
Hasrat itu telah dinyatakan SIRIM semasa menziarah kediaman Haikal Faiz dan ayahnya, Abdul Razak Majit di Kampung Padang Jawa dekat sini, ketika misi bantuan banjir MITI dan agensi pada Khamis.
Pengurusan SIRIM juga turut bersetuju agar arwah Abdul Razak diserapkan sebagai kakitangan tetap berbanding sebagai pekerja kontrak SIRIM sebelum ini.
Menteri Kanan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, MITI akan terus memastikan kebajikan Encik Abdul Razak dan Haikal Faiz tidak akan diabaikan.
''Semoga komitmen SIRIM ini akan dapat membantu Haikal Faiz mencapai impiannya dan memudahkan urusan Encik Abdul Razak.
''Walaupun tidak berada di tempat mereka, tapi saya dapat merasai kesedihan dan kehilangan yang dialami dua beranak ini,'' katanya.
Yang turut hadir ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad.
Ketabahan dan ketahanan emosi Abdul Razak sangat dikagumi apatah lagi apabila diuji dengan dugaan yang cukup berat ini, kehilangan orang tersayang dan sekali lagi berdepan ujian apabila kediamannya turut dinaiki air.
''Paling menyentuh perasaan saya apabila beliau memberitahu, walaupun perit untuknya menerima kenyataan yang berlaku, tapi beliau reda dengan ujian Allah SWT dan berdoa supaya roh isteri serta anak-anaknya ditempatkan dalam kalangan orang beriman,'' kata Mohamed Azmin.
Haikal Faiz juga walaupun masih muda tetapi cukup kuat dan mampu menerima apa yang berlaku ini.
''Semoga Haikal Faiz dapat menjadi anak yang soleh dan berbakti kepada keluarga. Jangan pernah lupa untuk mendoakan arwah ibu dan adik beradiknya yang telah pergi bertemu Ilahi,'' kata Mohamed Azmin. - DagangNews.com