Sistem subsidi bersasar, Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek Petronas Dagangan | DagangNews Skip to main content

Sistem subsidi bersasar, Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek Petronas Dagangan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek Petronas Dagangan Berhad pada masa hadapan selepas mengambil kira rancangan kerajaan untuk melaksanakan sistem subsidi bersasar.

 

Firma itu berkata, sistem subsidi menyeluruh yang digunakan ketika ini akan dimasuhkan secara berperingkat bagi memberi laluan kepada sistem yang lebih fokus kepada golongan khusus.

 

"Rasionalisasi subsidi petrol dan diesel untuk isi rumah berpendapatan tinggi boleh menyebabkan perubahan mendadak dalam corak penggunaan.

 

"Tambahan pula, penambahbaikan dalam infrastruktur baru-baru ini selain ketersambungan pengangkutan awam telah meningkatkan daya tarikan sebagai alternatif yang berdaya maju.

 

"Selain itu, ia dirangsang oleh subsidi kerajaan yang berterusan seperti pas bulanan RM50 untuk perkhidmatan rel dan bas Prasarana Berhad di Lembah Klang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih Petronas Dagangan melonjak kepada RM275.71 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 berbanding RM237.68 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu berikutan keuntungan kasar yang lebih tinggi daripada segmen komersial.

 

Perolehan, bagaimanapun, menurun kepada RM8.91 bilion pada suku tersebut berbanding RM9.5 bilion sebelumnya berikutan purata kelemahan dalam harga jualan iaitu sebanyak 14% dari tahun ke tahun walaupun jumlah jualan adalah lebih tinggi pada 9% dari tahun ke tahun.

 

Bagi tempoh enam bulan, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih yang lumayan berjumlah RM577.55 juta berbanding RM356.17 juta pada 2022, manakala hasil meningkat kepada RM17.56 bilion daripada RM17.12 bilion.

 

Firma penyelidikan itu menyukai kumpulan itu kerana perniagaannya menjana tunai tinggi, kunci kira-kira yang kukuh selain pengembangan rangkaian pengecasan elektriknya yang meningkatkan profil ESG kumpulan. 

 

"Bagaimanapun, kami bimbang tentang risiko penurunan kepada jumlah jualan memandangkan rancangan kerajaan untuk merasionalkan subsidi bahan api dan diesel," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM24.90 sesaham. - DagangNews.com