Situasi terburuk mungkin telah berlalu, pengukuhan ringgit antara pemangkin Tan Chong Motor - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Situasi terburuk mungkin telah berlalu, pengukuhan ringgit antara pemangkin Tan Chong Motor - Maybank IB

Kerugian Tan Chong Moto 2Q24 antaranya disebabkan permintaan Nissan yang lemah dan kesan pertukaran asing,kata Maybank IB. Gambar TCM
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Sept - Maybank Investment Bank (Maybank IB) tidak menjangkakan perubahan yang ketara kepada Tan Chong Motor Bhd dalam tahun kewangan  2024 tetapi yang terburuk mungkin telah berlalu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walau bagaimanapun ini bergantung kepada pelaksanaan yang berkesan terhadap segala apa yang telah dirancang bagi keluar daripada kerugian yang dialami untuk suku tahun ketujuh berturut-turut.

 

"Faktor pemangkin termasuk peningkatan jualan daripada pelancaran produk baharu dan kontrak pemasangan baharu pada suku-suku yang akan datang. 

 

"Pengukuhan nilai Ringgit Malaysia juga menguntungkan Tan Chong Motor kerana lebih daripada 90% pembeliannya dinyatakan dalam dolar Amerika Syarikat (AS)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Maybank IB dalam pada itu mengekalkan ramalan pendapatan dan penarafan Pegang' untuk Tan Chong Motor dengan harga sasaran (TP) yang tidak berubah sebanyak 80 sen sesaham.

 

"Kerugian suku tahunan ke-7 berturut-turut Tan Chong Motor pada suku kedua 2024 (2Q24) adalah disebabkan oleh permintaan kenderaan Nissan yang lemah, kesan buruk daripada kadar pertukaran asing dan operasi luar negara yang tidak menguntungkan," jelasnya.

 

Kata Maybank IB, operasi automotif Kumpulan itu mungkin menghadapi cabaran yang berterusan disebabkan oleh persaingan yang semakin meningkat pada separuh kedua 2024. 

 

"Walau bagaimanapun, kumpulan ini percaya bahawa siri e-Power berpotensi untuk meraih bahagian pasaran jika pelan rasionalisasi subsidi petrol dilaksanakan, yang akan membantu meningkatkan jualan Nissan mereka," ujarnya.

 

Tambah firma itu, Tan Chong Motor akan melancarkan Nissan Kicks e-Power (SUV segmen B) pada suku keempat 2024 dengan harga yang kompetitif. 

 

Katanya, dalam tempoh dua tahun akan datang, syarikat ini merancang untuk memperkenalkan model tambahan di Malaysia, termasuk satu lagi kenderaan e-Power dan satu hingga dua lagi kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE). 

 

"Pada suku kedua 2024, Tan Chong Motor telah melancarkan GAC GS8, M8, dan bas King Long Nova Euro 5 di Vietnam, dengan lebih banyak pelancaran yang dirancang. 

 

"Model GAC yang akan datang dijangka meningkatkan operasi Tan Chong Motor di Vietnam dari asas yang rendah. - DagangNews.com