KESIHATAN adalah komponen paling penting dalam kehidupan setiap insan. Hanya dengan kesihatan yang baik setiap rakyat boleh menjalani hidup sepenuhnya dan menjadi masyarakat produktif yang membangunkan negara.
Menyedari kepentingan itu, dasar kesihatan perlulah diutamakan dalam semua rancangan pembangunan Malaysia. Jika dibandingkan dasar lain yang ada pasang surutnya, bidang kesihatan tidak pernah dipinggirkan kerajaan, malahan peruntukan sentiasa akan meningkat saban tahun.
Pada pembentangan semula Bajet 2023 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan ‘Membangun Malaysia Madani’ membabitkan peruntukan sebanyak RM388.1 bilion, tertumpu kepada 12 ikhtiar utama berlandaskan kepada tiga tekad iaitu pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tatakelola bagi memulih keyakinan dan keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan.
Sebanyak RM36.3 bilion telah diperuntukkan kepada sektor kesihatan sekaligus sektor ini menerima peruntukan kedua terbesar dalam Belanjawan 2023.
Antara komponen utama peruntukan itu membabitkan keperluan perolehan ubat ubatan, reagent, vaksin dan bahan guna habis termasuk peruntukan RM3 bilion bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.
Selain itu, RM80 juta diperuntukkan bagi memperkasa Skim Peduli Kesihatan (Peka B40) dan turut merangkumi saringan penyakit kencing manis di samping menaik taraf 26 hospital terpilih di seluruh negara. Hospital Melaka misalnya, bagi mengurangkan kesesakan kerajaan akan membina blok Wanita dan kanak-kanak melibatkan kos hampir RM700 juta.
Skim Perubatan Madani
Pengenalan Skim Perubatan Madani adalah antara inisiatif kerajaan terbaharu di bawah sektor kesihatan. Sebanyak RM120 juta telah diperuntukkan di mana Skim Perubatan Madani adalah khusus untuk golongan B40 mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am serta swasta.
Menurut Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa, skim ini merupakan kemudahan “kredit” untuk golongan B40 berjumpa Pegawai Perubatan Am di klinik swasta tanpa perlu ke Jabatan Kecemasan di hospital kerajaan.
Inisiatif ini dilihat sangat baik di mana beban rakyat dikurangkan untuk rawatan perubatan di klinik swasta di samping beban petugas kesihatan serta kesesakan di hospital dan klinik kerajaan diminimumkan.
Akhirnya pada 15 Jun 2023, Skim Perubatan Madani telah dilancarkan dengan jayanya. Skim ini adalah inisiatif kerajaan melalui KKM bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan B40 terhadap Penjagaan Kesihatan Primer Akut (Rawatan Pesakit Luar).
Skim ini ditawarkan secara automatik kepada penerima STR dengan membantu menampung kos rawatan kes akut. Perkhidmatan percuma ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan akan diberikan di klinik kepada penerima manfaat mengikut pakej ditentukan.
Lokasi
Penerima Sumbangan Tunai Rahmah boleh mendapatkan rawatan di klinik perubatan swasta berdaftar di bawah skim ini. Peruntukan RM250 untuk isi rumah berkeluarga, warga emas tanpa pasangan RM150, dan bujang RM75.
Fasa rintis Skim ini telah bermula di 10 daerah iaitu Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling (Selangor), Kuala Lumpur, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak) hingga 31 Disember depan.
Pemilihan lokasi ini adalah berdasarkan peratusan tinggi kumpulan B40 yang menetap di kawasan miskin bandar. Di samping itu, daerah-daerah ini juga mencatatkan kadar kedatangan yang tinggi di fasiliti KKM berbanding daerah-daerah lain di Malaysia.
Rawatan
Walau bagaimanapun, pakej rawatan skim ini tidak merangkumi rawatan akut seperti imunisasi rutin, saringan kesihatan, rawatan susulan penyakit tidak berjangkit, rawatan susulan ibu dan anak rutin, perancangan keluarga rutin, perkhidmatan rehabilitasi serta permohonan ubat-ubatan dan suplemen tanpa konsultasi doktor.
Skim ini merangkumi rawatan Pesakit Luar Kes-kes Akut seperti demam dan selsema, cirit-birit dan muntah, terseliuh, sakit kepala, trauma ringan seperti luka ringan dan lain-lain.
Kementerian Kesihatan (KKM) melalui ProtectHealth menyasarkan 700 GP untuk mendaftar sebagai panel Skim Perubatan Madani menjelang September depan.
Sehingga kini empat sesi penerangan dan latihan kepada GP sudah dijalankan dan dijangka 10 sesi lagi akan dijalankan bagi mencapai sasaran GP yang berdaftar untuk skim ini. – DagangNews.com
Muhamad Addin Burhanuddin adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan & Perniagaan, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat