KUALA LUMPUR 20 Julai - smart Malaysia memperkenalkan model pengeluaran pertama kenderaan elektriknya, smart #1 dengan menganjurkan pratonton eksklusif di ibu pejabatnya di Subang Jaya, baru-baru ini.
Acara dua hari itu juga bertujuan untuk memenuhi keterujaan dan penantian para peminat kenderaan elektrik (EV) yang sekian lama menantikan kemunculan smart #1.
Para peserta termasuk pemilik dan peminat EV berpeluang meneroka identiti reka bentuk dan merasai pengalaman premium smart #1 selain menguji dinamisme tangkas dan teknologi termaju kenderaan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia, Zhang Qiang berkata, pihaknya berazam untuk menawarkan produk premium dengan reka bentuk futuristik dan teknologi terkini yang sesuai dengan gaya hidup moden di bandar.
"Justeru, acara ini memainkan peranan penting bukan sahaja untuk memberikan penjelasan mendalam berkaitan smart #1, tetapi turut meningkatkan keterlihatan dan kesedaran terhadap jenama smart di Malaysia.
“Dengan mengumpulkan pembeli dan peminat EV dan berkongsi pengetahuan bersama mereka, kami berharap ia dapat meningkatkan kesedaran dan membolehkan peserta meneroka produk kami secara langsung dengan memberikan peluang untuk melihat smart #1 secara dekat," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut Zhang, smart #1 meneruskan legasi jenama tersebut dengan menawarkan pendekatan perintis kepada mobiliti bandar.
Katanya, ia merupakan gabungan ciptaan ulung kejuruteraan oleh pasukan reka bentuk smart dan Mercedes-Benz yang menterjemahkan ciri-ciri aspirasi smart, untuk mereka masa depan yang lebih bijak, bersama-sama.
“Kami percaya smart akan menjadi jenama EV terkemuka di negara ini. Pasukan kami komited untuk memastikan ekosistem mobiliti EV telah disediakan sepenuhnya sebelum pelancaran smart #1 pada akhir tahun ini. Kami akan terus berkongsi perkembangan penting yang dicapai sepanjang perjalanan ini," ujar Zhang.
Sebagai bukti komitmen ini, smart Malaysia dengan kerjasama Hap Seng Smart akan menyertai Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) 2023 dari 22 hingga 23 Julai 2023, acara industri automotif terkemuka yang didedikasikan untuk mempamerkan perkembangan terkini dalam mobiliti elektrik.
Selain itu, sebagai pengimport dan pengedar rasmi kenderaan smart di Malaysia dan Thailand, smart Malaysia akan membawa keunggulan automotif EV ke pasaran Malaysia dengan memperkenalkan smart #1 yang dijadualkan dilancarkan pada suku keempat tahun ini.
Sejak pengumuman pelantikan pengedar smart pada Mei tahun ini, smart Malaysia telah merangka pelan pembangunan produk secara teliti dan bekerjasama rapat dengan rakan kongsi dan pembekal untuk memastikan ekosistem smart yang strategik di negara ini. - DagangNews.com