Solar dijangka sumbang 58% dalam sasaran penggunaan tenaga boleh diperbaharui | DagangNews Skip to main content

Solar dijangka sumbang 58% dalam sasaran penggunaan tenaga boleh diperbaharui

Solar

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Mac. - Projek-projek pemasangan solar dijangka menyumbang sebanyak 58% kepada sasaran penggunaan tenaga boleh diperbaharui di negara ini.

 

MIDF Research berkata, peratusan tersebut bersamaan dengan jumlah tenaga sebanyak 2,172 megawatt (MW).

 

"Bagi mencapai sasaran penggunaan tenaga boleh diperbaharui, sebanyak 2,172 MW (58%) dijangka disumbangkan oleh pemasangan solar, atau 1,349 MW (46%) sekiranya mengambil kira 823 MW yang diberikan melalui projek LSS kitaran keempat (LSS4).

 

"Selebihnya iaitu 42% lagi akan disumbangkan oleh sumber bukan solar iaitu sisa pepejal, hidro kecil, biomas dan biogas.

 

"Kami juga menjangkakan sasaran 1,349 MW kapasiti tenaga itu akan ditawarkan dalam LSS yang berikutnya," jelas MIDF Research.

 

Malaysia meletakkan sasaran untuk mencapai penggunaan 20% tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025.

 

Bagi mencapai sasaran berkenaan, negara memerlukan penggunaan 7,838 MW tenaga boleh diperbaharui.

 

Mengikut faksa semasa negara, MIDF Research memberitahu, Malaysia telah menggunakan sebanyak 1,483 MW tenaga boleh diperbaharui, manakala 2,597 MW lagi diberikan melalui program LSS dan Feed-in-Tariff (FiT) yang lalu.

 

Jumlah tersebut memerlukan penggunaan sekitar 3,758 MW lagi sebelum mengambil kira LSS4 (823 MW).

 

Jelas MIDF, sekiranya mengambil kira 823 MW daripada LSS4 itu, negara secara keseluruhannya masih kekurangan sebanyak 2,935 MW untuk mencapai sasaran 7,838 MW menjelang 2025.

 

Sementara itu, Kenanga Research yang mengulas isu sama berkata, program LSS yang lebih lanjut perlu dijalankan kerana negara kini hanya mencatatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sekitar 2%.

 

Pihaknya juga memberitahu, dengan lanskap negara yang lebih kompetitif, proses tender program LSS menyediakan cara yang menjimatkan untuk negara Malaysia meningkatkan campuran tenaga boleh diperbaharui.

 

"Sebenarnya, untuk mencapai sasaran 20% penggunaan tenaga boleh diperbaharui, sebanyak 58% adalah dari projek solar.

 

"Kami juga dapat melihat peningkatan penyertaan dalam program tenaga boleh diperbaharui yang diterajui oleh kerajaan seperti NEM, NEDA, Green Tax Allowance/Incentives," jelas Kenanga Research. - DagangNews.com