Solarvest dapat kontrak pemasangan solar PV RM22 juta di Kedah | DagangNews Skip to main content

Solarvest dapat kontrak pemasangan solar PV RM22 juta di Kedah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Solarvest Holdings Berhad memperoleh kontrak pemasangan panel solar fotovoltan (PV) atas bumbung bernilai RM22.2 juta daripada NEFIN Group.

 

Ini melibatkan pemasangan panel solar di kemudahan XSD International Paper Sdn. Bhd. yang terletak di Padang Meha, Kedah. 

 

Di bawah kontrak tersebut, kumpulan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi pemasangan sistem solar tersebut.

 

Projek itu dijangka selesai menjelang suku ketiga 2022 (3Q22).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, segmen komersial dan perindustrian (C&I) kekal kukuh menerusi perolehan kontrak tersebut. 

 

Davis Chong Chun Shiong
Davis Chong Chun Shiong

 

“Berdasarkan pengalaman kerjasama dengan NEFIN sebelum ini dan melihatkan kedudukan mereka dalam ruangan tenaga boleh diperbaharui, kontrak itu mencerminkan keupayaan kami sebagai sebuah penyedia perkhidmatan solar. 

 

“Walaupun segmen C&I telah melonjak dua kali ganda dari segi hasil pada tempoh dua tahun kewangan lalu, namun, kami percaya masih terdapat ruang untuk kami menambah baik mengambil kira landskap pasaran semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut makluman Solarvest kepada Bursa Malaysia semalam, Lembaga Pengarahnya percaya bahawa kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada aset bersih dan perolehan sesaham kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 serta seterusnya sehingga projek itu selesai. - DagangNews.com