Solarvest memperkasakan inisiatif tenaga bersih Halcyon Agri melalui pemasangan panel PV solar atas bumbung di kilangnya di Perak | DagangNews Skip to main content

Solarvest memperkasakan inisiatif tenaga bersih Halcyon Agri melalui pemasangan panel PV solar atas bumbung di kilangnya di Perak

Panel solar pada bumbung sebuah kilang di Nibong Tebal dipasang oleh Solarvest. - Gambar hiasan
Oleh Zaki Salleh

IPOH 14 Nov - Pakar tenaga bersih, Solarvest Holdings Berhad (Solarvest) telah memperoleh kontrak dengan Hevea KB Sdn. Bhd. (Hevea KB) bagi memasang sistem fotovoltaik solar (PV) berkuasa 2.5 megawatt-peak (MWp) di atas bumbung kilangnya di Chemor di sini 

 

Havea KB adalah anak syarikat milik penuh Halcyon Agri Corporation Limited (Halcyon Agri), pengurus rantaian bekalan getah asli global yang disenaraikan di Bursa Singapura.

 

Solarvest berfungsi sebagai penyedia kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan komisen untuk pemasangan sistem PV solar tersebut.

 

Sistem PV solar ini dijangka menjana 2.5 MWp tenaga bersih untuk penggunaan Hevea KB sendiri, sekali gus mengurangkan penggantungan pada grid kuasa dan meminimumkan jejak karbon

 

Sebelum ini, Halcyon Agri bekerjasama dengan Solarvest dalam satu lagi projek solar membabitkan anak syarikat mereka, Euroma Rubber Industries Sdn. Bhd. (Euroma) di Kulim, Kedah. 

 

Solar

Ketua Pegawai Eksekutif Solarvest, Davis Chong (dua dari kiri) dan  Pengarah Urusan Halcyon Rubber, Ng Eng Kiat (tiga dari kiri) bersama wakil-wakil agensi kerajaan selepas memeterai kerjasama di Ipoh.
 

Sistem PV solar atas bumbung di Chemor ini menandakan kerjasama kedua selain menjadi projek solar terbesar Halcyon Agri setakat ini.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Halcyon Agri, Li Xuetao berkata, Halcyon Agri bersama pemegang saham utamanya, China Hainan Natural Rubber Industry Group Co. Ltd. adalah entiti gabungan skala global yang memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan mampan untuk industri getah asli. 

 

Katanya, usaha seperti pemasangan sistem PV solar atas bumbung untuk memudahkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui adalah sejajar dengan matlamat dan objektif persekitaran, sosial dan tadbir urus.

 

“Selain itu, inisiatif ini menyumbang kepada matlamat Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050,” ujarnya.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, pihaknya gembira apabila dipilih sekali lagi oleh Halcyon Agri untuk melaksanakan projek baharu ini. 

 

“Kepercayaan dan keyakinan terhadap keupayaan teknikal syarikat menjadi bukti kepakaran dan dedikasi pasukan kami. 

 

“Dengan pengetahuan kami yang luas dalam penyelesaian tenaga bersih, kami menjangkakan inisiatif tenaga bersih ini akan mengurangkan pelepasan karbon Halcyon Agri sebanyak 2,113 tan setiap tahun,” ujarnya.

 

Menurut beliau, memandangkan jangkauan global syarikat yang meluas merentasi Asia-Pasifik, Solarvest berada pada kedudukan yang baik untuk meningkatkan lagi usaha kemampanan Halcyon Agri di seluruh rantau ini.

 

Jelasnya, kerjasama ini membina perkongsian yang berjaya pada masa lalu, meningkatkan lagi komitmen Halcyon Agri terhadap kelestarian alam sekitar sepanjang operasi perniagaan mereka.

 

“Selaras dengan dedikasi kami terhadap kemampanan, sasaran perniagaan syarikat kami kekal teguh dengan jumlah tertinggi 2.2 gigawatt (GWp) dalam projek. 

 

“Ini terdiri daripada loji janakuasa berskala besar, inisiatif komersil dan perindustrian dan usaha niaga di luar negara.

 

“Secara kolektif ia mencerminkan komitmen kami untuk memenuhi keperluan yang berubah bagi masa depan yang lebih hijau dan lebih mampan,” ujarnya.

- DagangNews.com