Southpoint Northport catat rekod kendali 297,337 tan metrik kargo pada Mei 2024 | DagangNews Skip to main content

Southpoint Northport catat rekod kendali 297,337 tan metrik kargo pada Mei 2024

Azman Shah Mohd Yusof (dua dari kanan) bersama pengguna pelabuhan dan pihak berkepentingan di Southpoint, Pelabuhan Klang. -Gambar Northport
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Julai - Terminal Southpoint, Pelabuhan Klang yang diuruskan Northport (Malaysia) Bhd mencatat rekod baharu bagi jumlah pengendalian kargo bulanan tertinggi apabila 297,337 tan metrik kargo direkodkan pada Mei 2024.

 

Prestasi ini melepasi rekod sebelumnya iaitu sebanyak 289,826 tan metrik yang dicatatkan pada bulan Ogos 2001.

 

Menurut Northport, jumlah 297,337 tan metrik itu merupakan pertumbuhan sebanyak 59.1% berbanding bulan yang sama tahun lalu. 

 

Pencapaian Southpoint tersebut disumbangkan oleh peningkatan ketara dalam pengendalian kargo pukal kering yang telah mencatatkan kendalian sebanyak 147,545 tan metrik pada Mei 2024, meningkat sebanyak 105.8% berbanding bulan yang sama tahun lalu. 

 

Sementara itu, kata Northport, segmen kargo pukal cair dan pukal turut mencatatkan pertumbuhan positif pada Mei 2024, dengan masing-masing mencatat peningkatan sebanyak 42.1% dan 7.3%, berbanding Mei 2023. 

 

"Dari segi jenis kargo, bahan biojisim, khususnya tempurung kelapa sawit telah mencatatkan pertumbuhan tertinggi dengan 84,415 tan metrik, meningkat sebanyak 193.0% berbanding Mei tahun lalu. 

 

"Jenis kargo lain yang mencatatkan pengendalian tinggi pada bulan Mei 2024 termasuk minyak sawit dengan 76,469 tan metrik dan arang batu dengan 63,130 tan metrik, masing-masing meningkat sebanyak 47.0% dan 47.2%," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, pencapaian cemerlang Southpoint pada bulan Mei 2024 adalah bukti komitmen dalam meningkatkan kecekapan operasi dan mengembangkan perkhidmatan. 

 

"Peningkatan ketara jumlah pengendalian kargo, terutamanya dalam segmen pukal kering, menyerlahkan keberkesanan inisiatif strategik kami, termasuk penubuhan Hab Logistik Biojisim di Southpoint,” kataya.

 

Northport diambil alih oleh MMC Corporation Berhad pada Januari 2016, melalui anak syarikat milik penuhnya MMC Port Holdings Sdn Bhd (MMC Ports).

 

Sementara itu, Azman berkata, Southpoint telah menyaksikan pertumbuhan kendalian bahan biojisim yang ketara, dengan jumlah kendalian meningkat daripada 16,551 tan metrik pada 2015 kepada 464,013 tan metrik pada tahun 2023. 

 

Katanya, penyumbang penting kepada lonjakan ini termasuk pemain industri seperti Ovol New Energy Sdn Bhd dan Bio Eneco Sdn Bhd, yang mengeksport bahan biojisim terutamanya ke Jepun dan Thailand. 

 

“Hab Logistik Biojisim di Southpoint adalah inisiatif strategik kami bagi memanfaatkan potensi besar industri biojisim, yang membawa kepada era baharu amalan mampan dan daya tahan ekonomi. 

 

"Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada strategi kami untuk memberi nafas baru kepada Southpoint, fasiliti terminal pelabuhan berusia 123 tahun yang mengendalikan pelbagai jenis kargo pukal. 

 

"Semasa saya mula-mula melawat Southpoint pada 2016, terdapat 23 unit binaan terbiar, bangunan usang dan kawasan yang ditumbuhi semak samun. Southpoint kini telah diubah menjadi hab komoditi dengan gudang-gudang dan gudang baharu dibina menggantikan binaan silo dan bangunan yang telah dirobohkan,” tambah Azman.

 

Ditubuhkan lebih seabad yang lalu dan dikenali sebagai Pelabuhan Swettenham, Southpoint telah berkembang dengan ketara sejak penubuhannya pada 15 September 1901. 

 

south
Port Swettenham dibuka 15 September 1901 dan kini dikenali sebagai Northport Southpoint. -Gambar FB Northport

 

Hari ini, Southpoint mempunyai lapan buah dermaga, dari Dermaga 1 hingga Dermaga 7A, dengan kedalaman yang berbeza untuk menampung pelbagai saiz kapal. 

 

Pelabuhan ini juga mempunyai lapan buah gudang dan kawasan terbuka serbaguna dengan keluasan keseluruhan 53,000 meter persegi bagi menyokong operasi pengendalian kargonya.

 

Kejayaan Southpoint hari ini adalah sebahagian daripada usaha transformasi dan pemulihan berterusannya yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan dan meluaskan jangkauan perdagangan serantaunya. - DagangNews.com