SPRM buka kertas siasatan berhubung surat aku janji sokong Ahmad Zahid sebagai PM | DagangNews Skip to main content

SPRM buka kertas siasatan berhubung surat aku janji sokong Ahmad Zahid sebagai PM

KUALA LUMPUR 3 Nov - Pihak berkuasa anti rasuah telah membuka kertas siasatan untuk meneliti surat aku janji yang dikatakan menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.

 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata, agensi itu telah menerima laporan mengenai perkara tersebut.

 

“Kami telah menerima aduan mengenai surat tersebut dan dakwaan itu. SPRM akan membuka kertas siasatan supaya perkara itu dapat diteliti," kata Azam kepada The Star hari ini.

 

Azam berkata, siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM kerana salah guna kuasa.

 

Beliau tidak menolak kemungkinan memanggil individu tertentu untuk direkodkan kenyataan mereka.

 

"Biar pegawai saya yang tentukan siapa yang perlu dihubungi. Mereka akan berbuat demikian selepas melihat dokumen yang telah diserahkan kepada mereka," katanya.

 

Semalam, satu maklumat tular di media sosial yang menggambarkan ikrar yang dibuat oleh Pengarah Komunikasi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang mana mana beliau berjanji, antara lain, untuk menyokong Ahmad Zahid yang merupakan Presiden UMNO, sebagai Perdana Menteri.

 

 

ZAHID
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

 

 

Ikrar itu, yang didakwa ditandatangani oleh Shamsul Anuar, berjanji untuk memberikan jawatan utama Kabinet dan pelantikan politik kepada Ahli Parlimen UMNO, serta menggugurkan pertuduhan mahkamah membabitkan pemimpin tertinggi parti. - DagangNews.com