SPRM buru majikan seleweng, kemuka tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya | DagangNews Skip to main content

SPRM buru majikan seleweng, kemuka tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 14 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pertubuhan Keselamatan sosial (Perkeso) telah melancarkan Ops Hire bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya di beberapa negeri.

 

"Operasi besar-besaran berkenaan dikendalikan oleh Ibu Pejabat SPRM bersama SPRM negeri dan telah dijalankan secara serentak bermula 13 Julai," kata suruhanjaya itu dalam kenyataan di sini.

 

Program Penjana Kerjaya merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran COVID-19 bermula awal tahun 2020.

 

Program ini dilaksanakan oleh Perkeso bertujuan merangsang ekonomi negara melalui pewujudan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja.

 

Bagaimananpun kata SPRM, suruhanjaya itu dengan kerjasama Perkeso telah membangunkan maklumat menerusi pemantauan dan risikan terhadap penerima dana dan mendapati ada majikan yang mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana tersebut.

 

"SPRM memandang serius isu berkenaan kerana ia berkepentingan awam, sekaligus memberi jaminan akan menyiasat secara menyeluruh bagi memastikan pihak-pihak yang terlibat dikenakan tindakan tegas berlandaskan undang-undang,'' kata suruhanjaya tersebut. - DagangNews.com