SPRM arahkan Mirzan Mahathir isytihar aset dalam tempoh 30 hari | DagangNews Skip to main content

SPRM arahkan Mirzan Mahathir isytihar aset dalam tempoh 30 hari

Mirzan Mahathir
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah memanggil ahli perniagaan, Mirzan Mahathir ke ibu pejabatnya di Putrajaya untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan. 

 

SPRM berkata, Mirzan hadir ke ibu pejabat SPRM pada pukul 9.30 pagi pada 17 Januari 2024.

 

Katanya, satu perintah notis disampaikan kepada Mirzan di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 yang mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.

 

"Perintah ini adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC). 

 

"Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, SPRM memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.

 

"Sehingga kini, seramai 10 saksi dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan serta SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan tersebut dan siasatan masih giat dijalankan," katanya. - DagangNews.com