Steel Hawk raih lanjutan kontrak setahun daripada unit Petronas Carigali | DagangNews Skip to main content

Steel Hawk raih lanjutan kontrak setahun daripada unit Petronas Carigali

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Steel Hawk Bhd yang tersenarai dalam Pasaran LEAP Bursa Malaysia telah memperoleh lanjutan kontrak daripada E&P O&M Services Sdn Bhd (EPOMS) untuk penyediaan perkhidmatan perancah bagi operasi EPOMS di Semenanjung Malaysia.

 

Kontrak tersebut dilanjutkan selama setahun lagi sehingga 9 Februari 2025, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Sebelum ini, kontrak terbabit diberikan pada Februari 2022 bagi tempoh dua tahun dengan pilihan lanjutan satu tahun.

 

EPOMS adalah anak syarikat milik penuh Petronas Carigali Sdn Bhd yang menyediakan operasi barisan hadapan bersepadu dan perkhidmatan penyelenggaraan untuk semua kemudahan terapung, termasuk saluran paip yang berkaitan di Malaysia.

 

"Kontrak adalah mengikut keperluan (yang tidak mempunyai nilai kontrak tetap) dan kami ditugaskan oleh EPOMS untuk menyediakan perkhidmatan tertentu mengikut tempoh kontrak tersebut, apabila dan ketika perkhidmatan tersebut diperlukan," jelasnya.

 

Steel Hawk menjangkakan kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Pada Disember 2023, Steel Hawk juga menerima lanjutan kontrak selama setahun daripada Petronas Carigali untuk penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian kemudahan darat.

 

Kumpulan itu baru-baru ini telah melantik Tengku Saifan Rafhan Tengku Putra, ahli kerabat diraja Selangor, sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif, manakala bekas ketua polis negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai pengerusi bebas dan bukan eksekutif.

 

 

Tengku Saifan Rafhan Tengku Putra
Tengku Saifan Rafhan Tengku Putra

 

 

Saham Steel Hawk, yang ingin memindahkan penyenaraiannya ke Pasaran ACE, kali terakhir didagangkan pada 28 sen pada 10 Mei, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM44.8 juta. - DagangNews.com