Stok minyak sawit diunjur meningkat 21.4% pada akhir Julai, kata CGS-CIMB Research | DagangNews Skip to main content

Stok minyak sawit diunjur meningkat 21.4% pada akhir Julai, kata CGS-CIMB Research

CGS-CIMB mengekalkan penarafan `Neutral', dengan hasil dividen penanam sebanyak 4.9% boleh menyokong harga saham jangka pendek
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 14 Julai - Stok minyak sawit domestik diunjur meningkat sebanyak 21.4% bulan ke bulan (MoM) kepada dua juta tan menjelang akhir Julai 2022, berikutan pengeluaran yang lebih tinggi dan eksport yang lebih rendah, menurut CGS-CIMB Research.

 

Firma penyelidikan itu percaya harga minyak sawit mentah (MSM) boleh didagangkan dalam julat RM4,000-RM5,000 setan pada Julai 2022 kerana mereka menghadapi bekalan eksport minyak sawit yang lebih tinggi daripada biasa dari Indonesia selepas kerajaan Indonesia mengubah dasar eksportnya untuk menampung eksport lebih tinggi bagi mengurangkan stok yang membebankan dalam negara.

 

"Kami mengunjurkan penanam huluan di Malaysia mencatatkan pendapatan mendatar berturut-turut pada suku kedua (S2) 2022 disebabkan oleh harga MSM yang lebih tinggi," kata CGS-CIMB.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata syarikat penanam sawit tersenarai awam di Malaysia yang mempunyai pendedahan ketara kepada ladang di Indonesia boleh melihat pendapatan suku atas suku (QoQ) yang mendatar hingga lebih lemah pada volum jualan yang lebih rendah.

 

“Kami percaya harga MSM separuh kedua (2H) 2022 akan lebih lemah, ditambah dengan kos operasi lebih tinggi berikutan kenaikan gaji minimum di Malaysia kepada RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei 2022, kos baja yang lebih tinggi, dan cukai Cukai Makmur, akan membawa kepada margin keuntungan yang lebih rendah pada 2H 2022 melainkan produktiviti bertambah baik," kata CGS-CIMB Research.

 

Stok minyak sawit Malaysia meningkat 9% MoM dan 3% tahun ke tahun (YoY) kepada paras tertinggi tujuh bulan sebanyak 1.66 juta tan pada Jun 2022, berikutan pengeluaran yang lebih tinggi dan eksport yang lebih rendah.

 

Paras stok adalah 1.2% di bawah unjuran CGS-CIMB Research sebanyak 1.68 juta tan, 2.9% di bawah anggaran tinjauan Reuters sebanyak 1.71 juta tan dan 3.5% di bawah ramalan konsensus Bloomberg sebanyak 1.72 juta tan.

 

Inventori minyak sawit bagi Jun 2022 adalah 11% di bawah paras stok purata 10 tahun sejarah Jun iaitu 1.85 juta tan.

 

Pengeluaran MSM meningkat enam peratus MoM tetapi turun empat peratus YoY kepada 1.55 juta tan pada Jun 2022, kerana terdapat lebih banyak hari bekerja pada Jun berbanding Mei 2022 (Sambutan Hari Raya berlangsung pada 2-3 Mei).

 

"Keluaran minyak sawit bagi separuh pertama (1H) 2022 turun sedikit sebanyak 1.1% YoY kepada 8.3 juta tan, jauh daripada unjuran kami mengenai pertumbuhan pengeluaran MSM Malaysia sebanyak 4% kepada 18.9 juta tan metrik pada 2022, disebabkan oleh kekurangan buruh yang teruk ," kata firma penyelidikan itu.

 

Eksport minyak sawit turun 12% MoM dan 16% YoY kepada 1.2 juta tan pada Jun.

 

Eksport yang lebih rendah didorong terutamanya oleh keputusan Indonesia untuk melonggarkan sekatan eksport minyak sawit pada 23 Mei 2022, yang membawa kepada peralihan permintaan minyak sawit dari Malaysia ke Indonesia.

 

"Kami mengunjurkan eksport minyak sawit Malaysia akan menurun pada bulan Julai, memandangkan Indonesia telah mengurangkan dasar kewajipan pasaran domestiknya dan pengeluar minyak sawit kini boleh mengeksport minyak sawit pada kadar 7x daripada jualan domestik mereka, daripada nisbah 5x sebelumnya," katanya.

 

"Kami mengekalkan penarafan `Neutral' kami, dengan hasil dividen penanam sebanyak 4.9% boleh menyokong harga saham jangka pendek mereka walaupun sentimen menurun," kata CGS-CIMB Research. - DagangNews.com