KUALA LUMPUR 11 Okt – Strategi kerajaan memastikan seramai mungkin penduduk di Malaysia walaupun dikritik hebat sebelum ini, akhirnya kini membolehkan rentas negeri dilakukan dan sektor ekonomi dibuka.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ``Alhamdulillah berkat kerjasama seluruh rakyat Malaysia, akhirnya rentas sempadan antara negeri untuk penduduk Malaysia yang sudah divaksinasi lengkap, dibenarkan oleh Kerajaan bermula hari ini, 11 Oktober 2021 seperti yang diumumkan Perdana Menteri Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob semalam.
‘’Saya amat mengalu-alukan pengumuman YAB Perdana Menteri yang sememangnya amat ditunggu-tunggu oleh jutaan rakyat Malaysia baik yang tua mahupun yang muda, di bandar mahupun di desa.
‘’Saya memuji pendirian Kerajaan yang terus konsisten dengan strategi memberi vaksin kepada seramai mungkin penduduk di negara ini,’’ katanya yang juga bekas Perdana Menteri dalam hantaran menerusi Facebook rasminya hari ini.
Muhyiddin berkata, lebih ramai yang divaksin, lebih ramai yang akan terlindung dari dijangkiti COVID-19 dengan teruk dan beban terhadap sektor kesihatan awam akan berkurang.
Menurutnya, ini akan membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka dan kita beransur-ansur kembali ke kehidupan norma baharu dan beralih dari pandemik ke endemik.
‘’Walaupun dikritik hebat sebelum ini, pendirian Kerajaan tidak berubah. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan mesti berani bertindak berdasarkan fakta dan melakukan perkara yang betul.
‘’Kelonggaran hanya diberikan apabila risiko sektor dinilai, dan kerajaan sudah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dalam memberi suntikan vaksin kepada seramai mungkin penduduk di Malaysia.
‘’Sering saya tekankan sewaktu mempengerusikan Sidang Khas MKN COVID-19 dahulu bahawa suntikan vaksin ini merupakan "cahaya di hujung terowong" dan tanggungjawab kerajaan untuk melindungi penduduk di Malaysia,’’ ujar beliau.
Alhamdulillah hari ini, kata Muhyiddin, semua sudah mula melihat dan menikmati hasil kerjasama rakyat dan kerajaan serta pengorbanan para petugas barisan hadapan dalam memerangi COVID-19.
‘’Dalam bergerak ke hadapan, jangan sesekali kita leka dan alpa kerana sememangnya virus ini masih berada di dalam komuniti.
‘’Ambil peluang rentas negeri ini untuk menziarahi orang tua dan keluarga tercinta yang dirindui, mencari rezeki, membantu peniaga-peniaga kecil dengan melancong dalam negeri, membeli barangan buatan tempatan dan makan beraneka makanan yang diidamkan.
‘’Namun, jangan kita melanggar SOP. Amalkan kawalan kendiri dengan ketat- pakai pelitup muka, elakkan bersentuhan, jaga penjarakan fizikal dan sentiasa membasuh tangan,’’ ujar beliau.
Jika berkemampuan kata Muhyiddin lagi, kerap lakukan ujian kendiri COVID-19 terutamanya dengan kit di rumah sendiri yang dijual dengan harga yang berpatutan kini di farmasi dan atas talian.
‘’Ini penting terutamanya kepada mereka yang sering berinteraksi di luar rumah, supaya jangkitan boleh dikesan dengan lebih cepat dan isolasi boleh dilaksanakan dengan efektif,’’ kata beliau.
‘’Seperti yang saya sarankan sebelum ini, ketika Kerajaan pimpinan saya mula memberikan kelonggaran kepada mereka yang telah lengkap divaksinasi pada Julai 2021 dan seawal Jun 2020 ketika lengkung jangkitan mula melandai- penilaian risiko kendiri adalah amat penting untuk memastikan penularan virus ini dapat dikawal.
Beliau berkata, selain usaha-usaha Kerajaan dalam kita beralih ke tahap endemik jangkitan COVID-19, penilaian kendiri amat penting untuk kita terus berjaya dan menang menentang musuh kita iaitu virus COVID-19.
‘’Bagi mereka yang ingin merentas negeri, saya doakan perjalanan anda di permudah dan semoga anda dan keluarga sentiasa dilindungi.
‘’Mulakan perjalanan anda dengan doa semoga dilindungi keselamatan anda dan keluarga sepanjang perjalanan dan patuhilah SOP yang ditetapkan.
‘’Kirimkan salam saya kepada ibu dan ayah, saudara mara di kampung!,’’ kata Muhyiddin. – DagangNews.com