Strategi pemodenan dan pertanian pintar, pemacu perubahan utama Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 - PM | DagangNews Skip to main content

Strategi pemodenan dan pertanian pintar, pemacu perubahan utama Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 - PM


PUTRAJAYA 25 Okt - Strategi pemodenan dan pertanian pintar merupakan pemacu perubahan utama dalam menjayakan transformasi sektor agromakanan negara di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata, ia bakal dipacu melalui dana pembiayaan, insentif pelaburan dan tenaga kerja bagi meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat.

 

“Dalam hal berkaitan, bidang Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersilan dan Inovasi akan menjadi nadi pembangunan sektor ini.

 

“Seiring itu, kerjasama pelbagai agensi penyelidikan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, turut digembleng dalam menjayakan DAN 2.0 ini,” katanya dalam rakaman ucapannya ketika melancarkan dasar berkenaan hari ini yang disiarkan melalui media sosialnya, lapor Bernama.

 

Jelas Ismail Sabri, DAN 2.0 dengan tempoh pelaksanaannya yang selari dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 bertujuan meneruskan agenda pembangunan
sektor agromakanan negara dengan tumpuan khusus terhadap usaha meningkatkan sekuriti makanan negara.

 

“Keutamaan dasar kali ini ditumpukan kepada usaha mempertingkatkan produktiviti dan pendapatan serta kualiti hidup dalam kalangan pengeluar sektor makanan,” katanya dan menambah bahawa pertanian pintar juga merupakan antara Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

 

Ismail Sabri berkata, fokus transformasi sistem makanan negara yang akan dilaksanakan melalui DAN 2.0  turut telah dibentangnya pada Sidang Kemuncak Sistem Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 23 Sept lepas.

 

Mengulas sejarah pertanian negara, perdana menteri berkata sektor ini telah melalui beberapa proses transformasi sejak merdeka sehingga kini dan sepanjang 64 tahun ini, ia tidak pernah dipinggirkan dalam sebarang pelan pembangunan negara malah semakin ditumpukan.

 

“Misalnya pada 1974, buat julung kalinya kerajaan ketika itu melancarkan Rancangan Buku Hijau yang bertujuan mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan. Usaha sedemikian diteruskan dari setahun ke setahun secara terancang.

 

“Ini termasuklah penggubalan Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 (DAN) yang bertujuan menjamin bekalan makanan negara mencukupi dan selamat  serta menjadikan sektor agromakanan berdaya saing,” katanya.

 

Beliau berkata sistem makanan negara perlu terus diperkukuh supaya lebih berdaya tahan dan mampan terutama sebagai persediaan menangani krisis global selain pandemik COVID-19 yang mungkin berlaku pada masa akan datang.

 

Ini menurutnya  termasuk meningkatkan prestasi rangkaian di semua aktiviti berkaitan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan  termasuklah keselamatan makanan serta pemakanan.

 

Perdana menteri berkata melalui kerangka DAN 2.0 berserta dokumen pelan tindakan yang telah disediakan, sasaran purata pertumbuhan sektor agromakanan dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12.

 

Mengenai DAN yang dilancarkan sebelum ini, beliau berkata prestasinya ternyata begitu membanggakan.

 

Setelah dilancarkan, katanya sumbangan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara meningkat dengan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.8 peratus pada 2020, peningkatan hampir 100 peratus berbanding pertumbuhan KDNK pada 2010.

 

Jumlah eksport bahan makanan menurutnya juga meningkat dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.4 peratus iaitu daripada RM18.1 bilion kepada
RM33.7 bilion bagi tempoh yang sama. 

 

“Ternyata sektor agromakanan hari ini memiliki nilai tambah yang berpotensi meningkatkan pendapatan di sepanjang rantaian peserta industri. Demi meneruskan
kejayaan Dasar Agromakanan Negara yang dilancarkan pada 2011 itu, maka pada hari ini DAN 2.0 telah digubal,” katanya. - DagangNews.com