KUALA NERUS 4 Jun - Permainan tradisional dan sukan rakyat yang dipromosikan dalam Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Terengganu dapat menarik minat pengunjung untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif bersukan.
Selain mengekalkan warisan kebudayaan, usaha itu juga selaras hasrat kerajaan dalam melahirkan komuniti cerdas dan menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
Seorang pengunjung, Norazizah Kassim, 43, berkata, kebanyakan generasi muda pada hari ini lebih gemar menghabiskan masa dengan e-sport dan permainan 'games' hingga melupakan sukan tradisional rakyat.
"Inisiatif Jelajah AKM dalam mempromosikan semula sukan rakyat ini diharap dapat menaikkan semangat sukan tradisional tempatan dalam kalangan Keluarga Malaysia.
"Saya pula yang rasa 'over excited', terlebih semangat ketika jadi tukang sorak menyaksikan pertandingan sukan rakyat hari ini sebab mengimbau kenangan waktu kecil dulu," katanya kepada DagangNews.com di sini, hari ini.
Antara pertandingan yang diadakan dalam slot permainan sukan tradisional rakyat ialah dam aji, congkak, bowling nyior, batu selambuk, kaki hantu, gasing bawang dan terompah gergasi.
Pengunjung, Muhammad Muhaimin, 19, berkata, penganjuran sukan tradisional rakyat seperti itu perlu diperhebatkan lagi pada masa akan datang.
"Tidak sekadar mengeratkan hubungan interaksi sosial, malah ia juga bagus untuk menggantikan 'ketagihan gajet' dalam kalangan belia.
"Lagipun, ia tidak memerlukan kos tinggi...contohnya, congkak dan batu seremban, ia boleh dimainkan di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa. Ia juga bagus kerana dapat menguji minda," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Muziakma Ali, 38, berkata, beliau datang ke Jelajah AKM itu untuk memberi pendedahan kepada anak tunggalnya mengenai permainan sukan tradisional rakyat kerana peluang seperti itu tidak patut dilepaskan.
"Saya katakan padanya lebih baik bermain dan keluarkan peluh daripada asyik terperap dalam bilik dan leka dengan 'video games' yang lebih banyak memberi kesan buruk berbanding kesan baik terutama untuk jangka masa panjang.
"Nampak dia seronok melihat telatah peserta termasuk kanak-kanak, remaja dan warga emas. Macam-macam 'skill' digunakan oleh ahli kumpulan untuk memenangi pertandingan.
"Permainan tradisional dan sukan rakyat ini juga sangat bagus kerana memberi kesan positif untuk keseimbangan badan sekali gus meningkatkan kemahiran motor kasar dan motor halus terutama bagi kanak-kanak dan remaja," katanya. - DagangNews.com