Sumbangan kedai baharu pacu pendapatan MR DIY kepada RM123.95 juta pada S3 2023 | DagangNews Skip to main content

Sumbangan kedai baharu pacu pendapatan MR DIY kepada RM123.95 juta pada S3 2023

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Nov - MR DIY Group (M) Bhd kekal "optimis dengan selesa" terhadap prospek pertumbuhannya memandangkan persekitaran perniagaan semasa.

 

Peruncit pembaikan rumah itu berkata ia kekal fokus pada pengembangan strategik rangkaian kedainya, mengoptimumkan hasil setiap kaki persegi dan kecekapan operasi, yang merupakan kunci untuk memacu prestasi kewangan dan meningkatkan nilai pemegang saham.

 

"Untuk tujuan ini, kami secara serentak meneroka beberapa inisiatif utama, termasuk pelancaran jenama baharu untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan, serta potensi pengambilalihan mendatar dan menegak untuk meningkatkan sinergi operasi, memastikan keterlihatan pertumbuhan masa depan dan melindungi rantaian bekalan kami.

 

"Automasi gudang, projek yang kami mulakan beberapa tahun lalu, juga menjadi keutamaan untuk meningkatkan pengoptimuman kos," kata Ketua Pegawai Eksekutif Adrian Ong dalam satu kenyataan.


 

Adrian Ong
          Adrian Ong

 


Pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2023, MR DIY mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM123.95 juta, meningkat daripada RM101.18 juta pada suku yang sama pada 2022, mewakili pendapatan sesaham yang lebih tinggi sebanyak 1.31 sen daripada 1.07 sen sebelumnya.

 

Perolehan kumpulan meningkat kepada RM1.07 bilion pada 3QFY23 daripada RM966.17 juta dalam 3QFY22, didorong terutamanya oleh sumbangan positif daripada kedai baharu.

 

Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 0.8 sen sesaham yang akan dibayar pada 22 Dis 2023, kepada pemegang saham berdasarkan rekod pendeposit pada 4 Disember 2023.

 

Bagi suku dalam tinjauan, MR DIY berkata rangkaian kedai itu berkembang 16.4% tahun ke tahun (y-o-y) dalam tempoh yang sama daripada 1,038 kedai kepada 1208.

 

Jumlah urus niaga meningkat 16.3% tahun ke tahun daripada 35.8 juta setahun lalu kepada 41.6 juta pada 3QFY23.

 

Saiz bakul purata, bagaimanapun, menyusut 5.1% y-o-y terutamanya disebabkan oleh sentimen pengguna yang lebih lemah.

 

Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih syarikat ialah RM402.04 juta, meningkat daripada RM336.87 juta manakala hasil meningkat kepada RM3.21 bilion daripada RM2.92 bilion pada 9MFY22. - DagangNews.com