Sunway Berhad dijangka raih untung bersih RM26 juta setahun daripada pembangunan tanah di Sri Hartamas | DagangNews Skip to main content

Sunway Berhad dijangka raih untung bersih RM26 juta setahun daripada pembangunan tanah di Sri Hartamas

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Mei – Rancangan Sunway Berhad untuk projek pembangunan bercampur di tanah yang dibeli daripada YNH Property Bhd dijangka menjana keuntungan bersih tahunan sebanyak RM26 juta mulai 2026 dan seterusnya, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Semalam YNH Property dilaporkan telah melupuskan kawasan pegangan bebas seluas 2.06 hektar (5.1 ekar) di Desa Seri Hartamas, Kuala Lumpur, kepada Sunway Living Space Sdn Bhd dengan bayaran tunai sebanyak RM170 juta.

 

 

BACA: YNH Property lupus tanah kosong miliknya di Desa Seri Hartamas bernilai RM170 juta

 

 

“Dengan mengandaikan margin sebelum cukai sebanyak 20% dan tempoh pembangunan selama lima tahun, projek baharu itu akan menghasilkan keuntungan bersih tahunan sebanyak RM26 juta mulai 2026 dan seterusnya,” kata firma penyelidikan tersebut dalam nota hari ini.

 

Di samping itu, Maybank IB turut menganggarkan pembangunan baharu tersebut akan meningkatkan pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 0.5 sen setahun dari FY26 dan seterusnya.

 

Selepas pengambilalihan tanah, menurut firma itu, bank tanah Sunway dan GDV berkesan akan meningkat masing-masing sebanyak +0.2% dan 2.4% kepada 3,068 ekar dan RM36.4 bilion.

 

Firma itu ‘neutral’ terhadap pembelian tanah baharu Sunway Berhad di Sri Hartamas disebabkan harga RM170 juta adalah berpatutan.

 

“Kami berkecuali dalam perjanjian tanah kerana harga yang berpatutan, di mana nisbah kos tanah kepada nilai pembangunan kasar (GDV) adalah 20%,” katanya dalam nota hari ini.

 

Firma  itu berkata tanah tersebut, yang akan dibangunkan menjadi pembangunan bercampur, mempunyai anggaran GDV sebanyak RM850 juta hingga RM1.1 bilion.

 

Pengambilalihan itu akan selesai menjelang akhir 2023 dan pembangunan akan dilancarkan menjelang 2025.

 

Firma itu mengekalkan ramalan pendapatan dan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) RM1.67 sesaham sementara menunggu keputusan 1Q23 dikeluarkan pada 24 Mei. -DagangNews.com