Sunway Healthcare lancar kempen digital kekang penularan penyakit kencing manis | DagangNews Skip to main content

Sunway Healthcare lancar kempen digital kekang penularan penyakit kencing manis

Timbalan Pengurus Besar Sunway Home Healthcare, Dr Ng Xun Jin menunjukkan cara pilihan makanan mempengaruhi gula darah di platform media sosial Sunway Healthcare
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov - Sebagai sokongan kepada usaha Kementerian Kesihatan untuk mengekang penularan penyakit kencing manis, Sunway Healthcare Group melancarkan kempen “KNOW Diabetes” tahunannya sempena Hari Penyakit Kencing Manis Sedunia pada 14 November 2023.

 

Kempen interaktif digital-dahulu yang memasuki tahun ketiga itu bertujuan mendekati lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyebarkan pengetahuan kesihatan, atau celik kesihatan, dalam kalangan mereka.

 

Presiden Sunway Healthcare Group, Datuk Lau Beng Long berkata, usaha bersungguh-sungguh kerajaan dalam membendung penularan penyakit diabetes terbukti dalam pembentangan Belanjawan 2024 yang mana kerajaan mencadangkan untuk menaikkan duti eksais ke atas minuman manis (cukai gula) daripada 40 sen seliter kepada 50 sen seliter.

 

Katanya, cukai yang dikutip akan disalurkan untuk merawat penyakit kencing manis dan memberi sokongan kepada pusat dialisis.

 

“Krisis penyakit diabetes tidak dapat dibendung jika semua rakyat Malaysia tidak bersatu hati dan bekerjasama. 

 

"Kempen ‘KNOW Diabetes 2023’ Sunway Healthcare Group berhasrat untuk membawa rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat bersama-sama untuk membendung peningkatan diabetes dan menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat dan bebas penyakit," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Pakar Sunway Home Healthcare, Dr Ng Xun Jin, dan Dr Ng Chin Nee juga akan menunjukkan kesan pilihan makanan yang sihat dan tidak sihat ke atas paras gula darah menggunakan monitor glukosa berterusan. 

 


Orang ramai juga dijemput untuk mencadangkan makanan yang mereka ingin pantau pada monitor glukosa itu.

 

Pusat Perubatan Sunway juga akan menyediakan promosi pemeriksaan kesihatan kepada individu yang berisiko tinggi untuk mengekang beban ekonomi yang disebabkan penyakit diabetis kepada individu, keluarga, sistem penjagaan kesihatan dan negara. - DagangNews.com