Sunway REIT cadang ambil alih hartanah perindustrian RM66.8 juta di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Sunway REIT cadang ambil alih hartanah perindustrian RM66.8 juta di Pulau Pinang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Dis - Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat (SPA) untuk memperoleh hartanah perindustrian di Taman Perindustrian Bukit Tengah di Pulau Pinang dengan pertimbangan tunai RM66.8 juta.

 

Sunway REIT Management berkata hartanah di atas tanah berkeluasan 4.2 hektar itu terletak bersebelahan Juru Auto City, sekitar hartanah Sunway REIT di Pulau Pinang dan kira-kira 12 kilometer dari Sunway Carnival Mall dan Sunway Hotel Seberang Jaya.

 

Hartanah itu mempunyai tempoh pegangan pajakan tamat pada 22 Oktober 2052 dan Sunway REIT bercadang untuk melanjutkan tempoh pegangan pajakan tanah tersebut kepada 60 tahun selepas selesai pengambilalihan.

 

Menurut pengurusan, hartanah ini mempunyai keluasan lantai kasar 307,487 kaki persegi, yang disewa sepenuhnya oleh tiga syarikat multinasional terkemuka (MNC), iaitu penyewa utama, Premium Sound Solutions, serta syarikat logistik Jepun dan syarikat perkhidmatan pengurusan maklumat Amerika Syarikat (AS).

 

Pengambilalihan dijangka menjana pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak kira-kira 7.6% berdasarkan pertimbangan pembelian. Selepas mengambil kira potensi premium lanjutan pegangan pajak yang perlu dibayar, hartanah tersebut dijangka menjana hasil NPI kira-kira 7%.

 

Oleh itu, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan pengagihan seunit (DPU) pada masa hadapan serta peningkatan hasil kepada portfolio aset Sunway REIT.

 

Pengambilalihan akan dibiayai sepenuhnya oleh kemudahan hutang sedia ada Sunway REIT dan disasarkan siap pada suku ketiga 2024, tertakluk kepada pemenuhan duluan syarat di bawah SPA.

 

Setelah selesai, Sunway REIT akan mempunyai aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM8.9 bilion, mengekalkan kedudukannya sebagai REIT tersenarai kedua terbesar di Malaysia (berdasarkan AUM).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management, Clement Chen berkata pengambilalihan terbabit menandakan usaha berterusan mereka mengembangkan jejak dalam segmen perindustrian, pengambilalihan keduanya pada 2023 dan harta perindustrian ketiga dalam portfolio aset Sunway REIT.

 

“Cadangan pengambilalihan akan menambah baik gabungan portfolio aset Sunway REIT sambil maju ke arah sasaran TRANSCEND 2027 kami untuk segmen perkhidmatan, perindustrian dan lain-lain yang merangkumi 20% hingga 30% daripada nilai hartanah menjelang 2027,” tambahnya.

 

Clement berkata beliau percaya hartanah tersebut mempunyai prospek jangka panjang yang positif dikelilingi oleh pemain industri tempatan dan MNC yang mantap dalam taman perindustrian yang sama.

 

“Ini disokong oleh aliran masuk pelaburan yang kukuh ke Pulau Pinang yang merupakan antara negeri penerima utama pelaburan pembuatan Malaysia yang diluluskan dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” tambahnya.  - DagangNews.com