Sunway sasar bina hospital bertaraf dunia, pusat beli belah baharu di Ipoh menjelang 2025 | DagangNews Skip to main content

Sunway sasar bina hospital bertaraf dunia, pusat beli belah baharu di Ipoh menjelang 2025

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
mohdzulfadli@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - Kumpulan Sunway menyasarkan projek pembinaan pusat perubatan bertaraf dunia dan pusat beli-belah baharu di Bandar Sunway Ipoh, Perak empat tahun lagi.

 

Kumpulan Sunway memaklumkan, inisiatif tersebut membentuk sebahagian daripada pelaburan kumpulan yang bernilai RM2 bilion di bandar tersebut.

 

Jelasnya, projek itu turut merangkumi Sunway Onsen Suites, sebuah suite residensi tiga blok, di mana kadar jualan menara pertamanya telah mencecah 90 peratus, kompleks jagaan hidup berbantu, dan sebuah universiti baharu.

 

"Pusat perubatan bernilai RM350 juta itu mempunyai 200 katil bakal dibuka pada 2024 dan memenuhi keperluan selaras pertumbuhan populasi bandar tersebut dan menunaikan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan perubatan melalui pusat kanser yang komprehensif serta tumpuan pada kesihatan wanita dan perubatan gaya hidup kesejahteraan," menurut kenyataan itu hari ini.

 

Katanya, dengan memanfaatkan eko sistem Bandar Sunway Ipoh selaku perbandaran resort bersepadu merangkumi hospitaliti, taman tema, pendidikan, komponen komersial dan residensi, lokasi strategik Pusat Perubatan Sunway Ipoh yang dikelilingi kehijauan tropikal dan bukit batu kapur berusia 260 juta tahun juga memacu status bandar tersebut sebagai hab pelancongan perubatan.

sunway

"Sebuah pusat beli-belah dengan kawasan boleh disewa bersih seluas 700,000 kaki persegi dan 2,700 kawasan parkir juga dalam perancangan. Perkembangan yang tidak disangka ini dicetus berdasarkan dua objektif iaitu penyebatian bersama persekitaran semula jadi Tambun sambil memperkenalkan pengalaman jual beli yang terunggul pada pusat negeri Perak," katanya.

 

Tambahnya, pusat beli-belah itu bakal melengkapi projek pembangunan sedia ada di Bandar Sunway Ipoh dengan komponen jual beli yang menyerlahkan jenama antarabangsa dan cawangan makanan dan minuman (F&B) untuk menyediakan pelbagai juadah terkemuka bandaraya Ipoh, justeru menarik perhatian penduduk tempatan dan pengunjung luar sepanjang pengembaraan mereka merentasi Lebuhraya Utara-Selatan melawati Ipoh bagi tujuan membeli-belah dan mencapai keperluan gaya hidup.

 

Pelaburan RM2 bilion ini akan memanfaatkan bukan sahaja komuniti tempatan dan para pengunjung Bandar Sunway Ipoh, bahkan juga memenuhi peningkatan keperluan keseluruhan Koridor Pembangunan Timur, Ipoh, yang berperanan sebagai pemangkin pembangunan bandar itu, dan juga penyumbang terpenting terhadap keseluruhan kadar kerancakan ekonomi negeri.

sunway

Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berkata, dikatakan bahawa bahan eksport terbesar Perak bukanlah buah limau bali mahupun kopi putih, tetapi bakat manusia. 

 

"Ia merupakan harapan saya di mana dengan menyediakan eko sistem yang maju melalui perbandaran bersepadu seperti Bandar Sunway Ipoh, kami boleh mulai menterbalikkan aliran ini dan menarik golongan yang terunggul dan paling cemerlang untuk menghuni di Ipoh.

 

Terdahulu, beliau menandakan upacara pecah tanah untuk memperluas Jalan Tambun yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

 

Cheah turut mengumumkan rancangan untuk melancarkan sebuah pusat perubatan tertiari dan sebuah pusat beli-belah dalam perbandaran bersepadu Bandar Sunway Ipoh yang berkeluasan 1,350 ekar menjelang 2025.

 

Beliau berkata, usaha perluasan Jalan Tambun dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan aksesibiliti Koridor Pembangunan Timur, Ipoh. 

 

"Kerja naik taraf bernilai RM16 juta ini merupakan usaha terkini dalam siri kolaborasi yang dijalankan bersama Sunway dan kerajaan negeri sejak awal tahun 2000 untuk merangsang ekonomi bandar tersebut," katanya.

 

"Selaku rakan kongsi kerajaan negeri yang komited dan teguh, Sunway telah bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi projek jejambat Jalan Sultan Azlan Shah Utara, transformasi Jalan Tambun daripada jalan raya tunggal yang sempit kepada empat lorong dua hala yang lebar merentasi Bandar Sunway Ipoh, berserta pembinaan jalan susur menghubungkan Lebuhraya Utara-Selatan ke Jalan Tambun, di mana Sunway merupakan penyumbang dana tunggal daripada sektor swasta," katanya.

 

Tambah beliau, sebelum pandemik, seramai dua juta penunggang motosikal akan merentasi Lebuhraya Utara-Selatan semasa musim perayaan. 

 

"Kami menyasar untuk menarik pengunjung yang menggunakan lebuhraya tersebut untuk berhenti seketika di Bandar Sunway Ipoh dan menikmati kemudahan dan infrastruktur yang Sunway tawarkan,” katanya. - DagangNews.com