Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Okt. - Penganjuran pertandingan keusahawanan syarikat pemula (start-up) SUPERB 2021 kali ini akan memberi penekanan kepada idea perniagaan berpaksikan Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Md Silmi Abd Rahman berkata, sebagai penyelaras utama agenda pembangunan Bumiputera, TERAJU mempunyai komitmen jitu di dalam melahirkan usahawan belia Bumiputera yang berdikari, berwawasan dan tidak mudah putus asa, terutama di dalam era ekonomi pandemik ini.
Katanya, sebanyak 10 kategori aktiviti pertumbuhan ekonomi yang diangkat sebagai tema projek SUPERB adalah ekonomi digital, kewangan Islam, pelancongan, pembuatan, halal dan makanan, pertanian dan komoditi, pertahanan dan keselamatan, pembinaan modular, aeroangkasa, serta logistik, pengangkutan dan kelestarian mobiliti.
"Melalui program SUPERB 2021, usahawan Bumiputera berpeluang bukan sahaja memperbaiki teknik pembentangan perniagaan, malah menaik taraf kualiti idea perniagaan sekaligus mampu menjadi usahawan berintegriti, berinovasi, berdaya tahan dan berupaya membawa perniagaan mereka ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
"Program ini juga menekankan kepentingan pendigitalan dalam menghadapi cabaran dunia perniagaan masa kini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, penambahbaikan program SUPERB dilakukan dengan mengambil kira maklum balas para juri dari sesi pitching sebelum ini.
"Isu yang sering diketengahkan kepada para peserta adalah kelemahan dari segi pengetahuan asas perniagaan, selain daripada teknik pembentangan atau pitching mereka.
"Untuk tahun ini, SUPERB 2021 mengambil inisiatif melancarkan program peningkatan kapasiti accelerator yang akan berlangsung selama enam minggu mana asas perniagaan para peserta akan dipertingkatkan," jelasnya.
Sejak dilancarkan pada tahun 2014, SUPERB telah berjaya melahirkan 208 usahawan ‘start-up’ Bumiputera dengan lebih dari 62% produk dan perkhidmatan mereka dikomersialkan di pasaran seluruh negara dan antarabangsa. -DagangNews.com