Supermax masuk, KLCCP keluar FBM KLCI | DagangNews Skip to main content

Supermax masuk, KLCCP keluar FBM KLCI

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Supermax Corporation Berhad (Supermax) telah dimasukkan ke dalam Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI, manakala KLCC PROP & REITS - Stapled Sec (KLCCP) akan dikeluarkan daripada indeks tersebut.

 

FTSE Russell dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) mengumumkan perubahan tersebut berikutan penilaian setengah tahun Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia hari ini. 

 

Semua perubahan ahli Indeks akan berkuatkuasa pada 21 Disember 2020 dan penilaian seterusnya adalah pada bulan Jun 2021.

 

Bursa Malaysia dalam satu kenyataan berkata, senarai simpanan FBM KLCI terdiri daripada lima syarikat teratas bukan ahli indeks yang mempunyai kedudukan tertinggi dari segi permodalan pasaran termasuk Kossan Rubber, QL Resources, MR D.I.Y. GROUP, Westports Holdings dan KLCCP.

 

Kata pengendali bursa tempatan itu, senarai simpanan berkenaan akan digunakan jika satu atau lebih daripada ahli indeks dikeluarkan daripada menjadi ahli FBM KLCI mengikut peraturan indeks dalam penilaian setengah tahun akan datang. 

 

“Berikutan daripada penilaian tersebut, ATA IMS, Duopharma Biotech, Heineken Malaysia, KLCCP, MR D.I.Y. Group, Unisem, UWC dan YTL Power International telah dimasukkan ke dalam Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70.

 

“Dalam pada itu, AEON, Eco World International, Hengyuan Refining Company, Kerjaya Prospek Group, Petron Malaysia Refining and Marketing, Sunway Construction Group, Supermax dan Velesto Energy akan dikeluarkan daripada indeks tersebut.

 

“Inari Amertron dan Petronas Dagangan telah dimasukkan ke dalam Indeks FTSE Bursa Malaysia Hijrah Shariah. Di samping itu, FGV Holdings dan Serba Dinamik Holdings akan dikeluarkan daripada Indeks FTSE Bursa Malaysia Hijrah Shariah,” kata Bursa Malaysia.

 

FBM KLCI  merupakan sebahagian daripada siri Indeks FTSE Bursa Malaysia yang digunapakai secara meluas oleh para pelabur sebagai penanda aras utama untuk pasaran Malaysia termasuk derivatif melalui FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLI) dan FTSE Bursa Malaysia KLCI Options (OKLI). 

 

Penanda-penanda aras itu dijejaki oleh beberapa produk kewangan berkaitan indeks, seperti dana-dana pasaran diniagakan (exchange-traded funds). 

 

FTSE Group dan Bursa Malaysia telah bekerjasama sejak tahun 2006 dalam menyediakan siri indeks bagi pasaran Malaysia. 

 

“Maklumat lanjut mengenai penilaian siri indeks FTSE Bursa Malaysia, termasuk pertambahan, pembatalan dan peraturan yang digunapakai boleh didapati di https://www.ftserussell.com/products/indices/bursa-malaysia,” tambah Bursa Malaysia. - DagangNews.com