Supernewsroom.io: Aplikasi Super PR Perkenalkan Lima Ciri Baharu | DagangNews Skip to main content

Supernewsroom.io: Aplikasi Super PR Perkenalkan Lima Ciri Baharu

Manminder Kaur Dhillon (kiri) dan Puspavathy Ramaloo, dua tenaga utama di belakang Supernewsroom.io

 

KUALA LUMPUR 1 Julai – Dalam tempoh seminggu pelancaran Supernewsroom.io, sebanyak 100 syarikat mendaftar untuk memperoleh akses di platform PR yang baharu dilengkapi paparan ciri-ciri yang dipertingkatkan.

 

Pengasasnya, pengamal perhubungan awam (PR), Manminder Kaur Dhillon dan bekas wartawan penyiaran Puspavathy Ramaloo menyifatkannya sebagai platform Super PR , dengan ciri-ciri baharu yang bermatlamat untuk membantu sesiapa sahaja  – sama ada syarikat pemula atau syarikat Fortune 500 – untuk mengendalikan keseluruhan kempen  PR mereka hanya menggunakan satu platform.

 

“Matlamatnya adalah untuk menghasilkan platform perhubungan awam sehenti sewaktu kami bermula lima tahun lalu, Hari ini, kami sudah pun mencapainya. Kami terus berpegang kepada slogan kami: ‘Kaedah yang paling mudah untuk mendapatkan publisiti jenama anda’ dengan menjadikannya berasaskan kredit, berbanding mengenakan bayaran yuran langganan kepada pengguna, UI/UX yang lebih baik dan beberapa paparan ciri baharu yang hebat. Supernewsroom.io ini barangkali aplikasi Super PR pertama seumpamanya di dunia,” jelas Manminder yang juga CEO Supernewsroom.

 

Pengguna boleh mengakses platform berkenaan secara percuma dan memperoleh 10 kredit bernilai AS$0.50 setiap satu (RM2) ketika mendaftar. Mereka boleh mengakses pangkalan data media dan menghantar siaran media kepada 30,000 wartawan meliputi lapan negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Hong Kong, Vietnam dan beberapa negara lain di rantau ini.

 

Kredit prabayar itu akan ditolak dengan setiap penghantaran e-mel yang dihantar daripada platform terbabit dan ditambah pada bila-bila masa.

 

"Ia direka untuk sesiapa sahaja – sama ada anda masih baharu dalam dunia perhubungan awam atau sudah berpengalaman. Mengenai Supernewsroom.io, pengguna boleh memilih label yang paling bersesuaian dengan jenama mereka dan/atau kenyataan media untuk dipadankan dengan penerbitan atau wartawan yang bersesuaian.  

 

"Menggunakan kaedah sebaran e-mel tersedia (in-built), mereka boleh menghantar isi kandungan mereka serta-merta. Paling menarik, kini pengguna boleh menggunakan khidmat pakar di platform berkenaan dengan menggunakan kredit prabayar,” katanya.

 

Perunding PR maya, penulis dan penterjemah profesional merupakan sebahagian daripada pakar yang berkhidmat di platform berkenaan, jelas Manminder. Pengguna boleh meminta nasihat mengenai PR, menulis kenyataan media dan diterjemahkan ke bahasa tempatan.

 

Manminder menambah, memandangkan lebih banyak perniagaan memanfaatkan pendigitalan disebabkan pandemik COVID-19 dan mengambil kira tenaga kerja masa kini yang kian berkurangan di samping cabaran bekerja dari rumah, sebuah platform yang mampu melaksanakan tugasan dengan lancar seperti Supernewsroom.io ternyata satu kemestian.

 

“Kami memahami keperluan yang kian meningkat dari segi pendigitalan dan kerjasama pasukan.  Sehubungan itu, Supernewsroom.io yang baharu dan dipertingkatkan ini akan menjadi salah satu cabang yang diperlukan oleh sesebuah jenama untuk berjaya dalam waktu serba mencabar ini.

 

"Syarikat boleh memanfaatkan capaian pelbagai pengguna di Supernewsroom.io, menjadikannya lebih mudah untuk bekerjasama dalam suatu kempen PR. Pengguna boleh melihat setiap kempen – sasaran senarai media, mencipta senarai media/fail kegemaran untuk topik atau siaran media tertentu dan menerusi integrasi Google News, mereka boleh memantau kejayaan kempen PR masing-masing.”

 

Menurut Manminder, kerjasama dengan agensi media juga akan menjadi keutamaan pasukan. Perkhidmatan Jaminan Liputan Media Supernewsroom kian popular dalam kalangan perniagaan. Ini juga terbina atas kerjasama dengan lebih daripada 60 organisasi media untuk memperoleh jaminan siaran di rantau ini.

 

“Platform berkenaan juga memberi peluang kepada agensi media menjana lebih pendapatan untuk halaman masing-masing. Agensi media menjana pendapatan menerusi penempatan isi kandungan bersama pihak kami dan ini berdasarkan polisi editorial mereka.  Pada akhirnya, kami memiliki impian supaya Supernewsroom.io bakal menjadi tempat pasaran untuk pengguna mendapatkan khidmat profesional daripada industri, sama ada perunding  PR, pencipta isi kandungan dan penempatan isi kandungan.”

 

Meluaskan perkhidmatan dengan pantas di peringkat antarabangsa juga akan menjadi bidang tumpuan penting, menurut Manminder.

 

Untuk mencapai matlamat berkenaan, Supernewsroom antara lain meningkatkan usaha pemasaran digitalnya.

 

"Terdapat banyak perancangan untuk berkembang dengan pantas. Matlamat kami adalah untuk menempatkan syarikat ini dengan kukuh di peringkat antarabangsa, terutamanya di pasaran utama seperti Asia Tenggara, Asia Pasifik dan Amerika Syarikat,” tambah Manminder.

 

Sila layari www.supernewsroom.io untuk maklumat lanjut mengenai Supernewsroom. - DagangNews.com