Suria Capital, BEDI Development bekerjasama bagi pembangunan projek komersial bercampur bernilai RM4.2 bilion di Kota Kinabalu | DagangNews Skip to main content

Suria Capital, BEDI Development bekerjasama bagi pembangunan projek komersial bercampur bernilai RM4.2 bilion di Kota Kinabalu

Majlis pertukaran dokumen perjanjian kerjasama antara Suria Capital dan BEDI Development di Kota Kinabalu, semalam. - Gambar/ Borneo Post
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Feb - Suria Capital Holdings Bhd memeterai perjanjian usaha sama (JVA) dengan BEDI Development Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Exsim Development Sdn Bhd bagi pembangunan projek komersial bercampur dengan nilai bersih kolektif kira-kira RM4.2 bilion di atas dua bidang tanah seluas 14.23 hektar di Kota Kinabalu.

 

Bagi memudahkan pembangunan itu, Suria Capital dan BEDI Development memeterai dua perjanjian pemegang saham, membentuk dua syarikat JV, iaitu Jesselton Docklands 1 Sdn Bhd dan Jesselton Docklands 2 Sdn Bhd.

 

Syarikat-syarikat itu akan melaksanakan pembangunan, pembinaan dan penyiapan projek komersial bercampur di tanah pertama seluas 2.543 hektar yang dipegang di bawah pajakan bandar dan tanah kedua seluas 11.69 hektar yang berada di bawah pajakan desa.

 

"Berdasarkan perjanjian, Suria Capital dan BEDI Development akan melanggan 250,000 saham biasa pada RM1 sesaham, yang akan diterbitkan dan diperuntukkan oleh setiap JV, membolehkan mereka mengawal 50% kepentingan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Suria Capital, yang mengurus dan mengendalikan lapan pelabuhan utama di Sabah melalui anak syarikat milik penuhnya Sabah Ports Sdn Bhd, mempunyai pemegang saham terbesarnya dalam Qhazanah Sabah Bhd, cabang pelaburan Kerajaan Sabah, memegang 45.39% kepentingan.

 

Sementara itu, BEDI Development, pemaju hartanah yang berpangkalan di Sabah yang terlibat dalam pembangunan hartanah dan aktiviti ejen hartanah, terkenal dengan portfolionya bermula daripada projek perindustrian hingga kediaman bertingkat tinggi dan komersial. 

 

Sehingga kini, Exsim Development telah melancarkan 38 pembangunan dengan nilai pembangunan kasar RM14.53 bilion.

 

Suria Capital menekankan bahawa tanah pertama termasuk Terminal Feri Jesselton Point, berfungsi sebagai pintu masuk ke pulau-pulau berdekatan di Taman Laut Tunku Abdul Rahman, manakala tanah kedua bersebelahan dengannya terdiri daripada dermaga Pelabuhan Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya.

 

"Cadangan pembangunan projek komersial bercampur bersama-sama pembangunan tepi laut di sekitarnya seperti Jesselton Quay, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah dan Kota Kinabalu Convention City, secara kolektif akan dikenali sebagai Jesselton Waterfront City," katanya.


Kumpulan itu berkata, kerjasama dijangka menyumbang secara positif kepada aliran hasil masa hadapan, pendapatan dan keuntungan syarikat. 

 

Katanya, dengan lokasi yang strategik dan prospek positif pasaran hartanah di Sabah, kerjasama itu menjangkakan permintaan dan potensi pertumbuhan mampan. 

 

"Kerja-kerja fizikal projek itu dijadualkan akan dimulakan pada awal 2025, dengan pembangunan tanah pertama dimulakan terlebih dahulu, diikuti dengan pembangunan tanah kedua. Cadangan pembangunan di Fasa 1 Plot 1 di tanah pertama dianggarkan siap menjelang 2028, manakala keseluruhan projek dijangka siap dalam tempoh 12 tahun dari tarikh dimulakan," katanya. - DagangNews.com