Syarikat biskut Hup Seng raih manfaat apabila pengguna Malaysia beralih selera kepada jenama tempatan | DagangNews Skip to main content

Syarikat biskut Hup Seng raih manfaat apabila pengguna Malaysia beralih selera kepada jenama tempatan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Feb - MIDF Research mengunjurkan Hup Seng Industries Berhad mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak +5.8% bagi tahun kewangan 2024 (FY24) antaranya didorong jangkaan perubahan sikap sebahagian pengguna Malaysia yang kini lebih mengutamakan jenama tempatan.

 

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan Hup Seng mampu mencatatkan peningkatan jualan domestik didorong oleh permintaan kukuh untuk biskut yang mana pendapatan syarikat itu meningkat 12.3% pada FY23 berbanding tahun sebelumnya.

 

Katanya, unjuran ini turut mengambil kira kos bahan mentah yang lebih rendah disebabkan oleh normalisasi harga gandum dan minyak sawit mentah (MSM) serta penurunan harga gula global baru-baru ini.

 

"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'Beli' dengan harga sasaran baharu 99 sen sesaham berbanding 98 sen sebelum ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kata MIDF Research, pihaknya mengekalkan pandangan positif terhadap Hup Seng memandangkan permintaan produk yang stabil disebabkan jenama kukuh syarikat itu.

 

"Hup Seng juga menerima manfaat daripada sikap pengguna Malaysia yang beralih kepada jenama tempatan," ujarnya.

 

MIDF Research bagaimanapun turut menggariskan risiko penurunan pada Hup Seng sekiranya berlaku peningkatan mendadak dalam harga komoditi, terutamanya MSM, gula dan tepung gandum.


Hup Seng semalam memaklumkan Bursa Malaysia bahawa mereka merekodkan keuntungan bersih bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 (FY23) sebanyak RM45.09 juta berbanding RM26.08 juta setahun sebelumnya.

Hasil pula meningkat 12.28% kepada RM357.27 juta daripada RM318.19 juta.- DagangNews.com