Syarikat gagal tempatkan pekerja asing perlu dikompaun sehingga RM30,000 - Johari Ghani | DagangNews Skip to main content

Syarikat gagal tempatkan pekerja asing perlu dikompaun sehingga RM30,000 - Johari Ghani

Jumlah kompaun yang dikenakan itu boleh digunakan semula untuk menanggung kos penghantaran pulang pekerja asing ke negara asal, yang sebelum ini dibiayai kerajaan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 4 Jan - Mana-mana syarikat yang didapati membawa masuk pekerja asing tetapi gagal menempatkan mereka di sektor pekerjaan, perlu dikenakan kompaun tinggi sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja.

 

Cadangan itu disuarakan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menyifatkan isu berkenaan memberi kesan kepada semua industri dalam negara khususnya perladangan.

 

Jelasnya jumlah kompaun yang dikenakan itu boleh digunakan semula untuk menanggung kos penghantaran pulang pekerja asing ke negara asal, yang sebelum ini dibiayai kerajaan.

 

"Saya nak cadangkan mana-mana syarikat yang bawa pekerja asing datang ke negara kita dan dalam sebulan masih tak ada kerja, syarikat itu sepatutnya dikompaun RM20,000 sehingga RM30,000 seorang.

 

"Kalau bawa 500 pekerja, darab dengan 500, kalau 1,000 (pekerja), darab dengan 1,000, barulah boleh guna benda ini, kalau tak ada kerja, kita hantar balik guna kos ini, kalau tidak kerajaan kena tanggung kos," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di sini, hari ini.

 

Johari berkata, isu pekerja asing yang dibawa masuk ke negara tetapi tidak mendapat pekerjaan seolah-seolah menunjukkan ada syarikat dalam sektor terbabit cuba mengeksploitasinya sebagai perniagaan.

 

 

JoGhani
Datuk Seri Johari Abdul Ghani

 

 

"Kalau dia (syarikat) bawa datang pekerja (asing), (syarikat itu) tunggu siapa datang, baru nak supply (bekalkan), bermakna mereka dah buat benda ini satu perniagaan, tak boleh, pekerja asing ini adalah untuk bekerja dalam sektor 3D (kotor, sukar, bahaya).

 

"Kita dapat banyak laporan mengatakan ramai pekerja asing datang ke negara kita, datang sini, tapi tak ada kerja, baru-baru ini di Pengerang (Johor) beratur panjang, mereka pergi ke balai polis buat laporan sebab tak ada kerja sedangkan banyak ladang kita memerlukan ramai pekerja asing," katanya.

 

Mengulas lanjut, Johari memaklumkan sudah membangkitkan isu punca kuasa dalam menangani masalah pekerja asing pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Januari.

 

Jelasnya, isu punca kuasa membabitkan beberapa kementerian khususnya Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu diselesaikan segera selaras dengan hasrat Perdana Menteri.

 

"Banyak isu yang bersangkut paut antara kementerian contohnya, Jabatan Imigresen menjalankan penguatkuasaan. Jadi kalau mereka tengok pekerja itu datang dengan cukup permit dan pasport, dia tak boleh buat apa.

 

"Kemudian KSM mengeluarkan kuota untuk bagi kepada industri yang minta pekerja dan apabila mereka datang, tak ada kerja dan apabila KSM ingin 'transfer' kouta itu kepada syarikat lain, tak boleh sebab mereka tak ada punca kuasa.

 

"Kalau tidak, orang datang ke negara kita, harapkan pekerjaan tapi tak ada kerja, ia memberi imej tidak baik kepada negara kita sedangkan industri memerlukan pekerja," katanya.

 

Katanya, beliau difahamkan KDN dan KSM ketika ini sedang berbincang bagi menangani segala isu berbangkit berhubung isu berkenaan.

 

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan berkata kementeriannya dan KSM komited dalam usaha menambah baik aspek pengurusan pekerja asing di negara ini, lapor Berita Harian.

 

Katanya, beliau dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berbincang pelbagai perkara membabitkan ruang lingkup kedua-dua kementerian berhubung isu terbabit. - DagangNews.com