Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Ogos - Syarikat pembinaan dan pemaju hartanah di Malaysia, WZR Property Sdn. Bhd. (WZR) telah memfailkan saman terhadap kerajaan Maldives yang telah melanggar kontrak perjanjian bagi pembinaan bangunan Kementerian Kewangannya di Hulhumalè.
Menurut WZR, syarikat telah berhubung dengan Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Pejabat Perdana Menteri (JPM) untuk campur tangan dan membantu dalam menuntut bayaran sebanyak AS$22.8 juta atau sekitar RM97.36 juta dari kerajaan Maldives.
Pengarah Eksekutif WZR, Wan Nadzir Wan Mohamad berkata, pihak penimbang tara dari Asian International Arbitration Centre (AIAC) telah mengarahkan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) di bawah kerajaan Maldives untuk melunaskan bayaran bagi projek yang telah disempurnakan sehingga Julai 2020.
“Sehingga hari ini, kami masih belum menerima bayaran penuh projek yang disampaikan oleh pihak penimbang tara kepada HDC. Kami telah mencuba semua saluran untuk berhubung dengan kerajaan Maldives dan telah memutuskan untuk memfailkan saman terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Wan Nadzir, WZR merupakan kontraktor bumiputra Kelas A yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor dan memegang Lesen Gred 7 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Katanya, WZR telah menyempurnakan projek perumahan dan komersial yang berkualiti lebih daripada 20 tahun, sekali gus membolehkan syarikat meneroka peluang di rantau ini.
“Malangnya, krisis COVID-19 telah menjejaskan industri hartanah dan pembinaan dengan teruk. Dana yang masih terhutang oleh kerajaan Maldives sangat penting untuk mempertahankan operasi dan memudahkan usaha kami ke arah pembinaan bangsa,” katanya.
Pada tahun 2016, kerajaan Maldives telah menandatangani satu kontrak dengan WZR bagi pembinaan bangunan yang terdiri daripada 25 tingkat di ibu negara Maldives, Malé.
Namun, ia kemudiannya diputuskan untuk ditukar ke sebuah pulau dinamakan Hulhumalé yang juga terletak di negara berkenaan.
Sebagai sebahagian daripada proses untuk mendapatkan bayaran dari HDC bagi projek yang disempurnakan, WZR pada September 2019 meminta AIAC untuk melantik penimbang tara bagi menyelesaikan isu pembayaran tersebut.
Rentetan itu, pada 5 Julai, pihak penimbang tara, John Wright telah memutuskan bahawa WZR layak untuk mendapatkan bayaran dari HDC bagi kerja-kerja yang telah diselesaikan memandangkan syarikat telah memenuhi syarat kontrak.
Ini termasuk arahan kepada HDC untuk membayar RM97.36 juta kepada WZR dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan itu. - DagangNews.com