Syarikat tempatan raih RM3.39 bilion kontrak ECRL  | DagangNews Skip to main content

Syarikat tempatan raih RM3.39 bilion kontrak ECRL 

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Syarikat tempatan telah meraih nilai kontrak berjumlah RM3.39 bilion bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mulai 2017 hingga 30 November 2020. 

 

Nilai kontrak itu termasuk kerja-kerja sivil kekal dan sementara membabitkan hampir 2,000 syarikat tempatan terdiri daripada kontraktor, pembekal dan perunding  

 

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, daripada keseluruhan jumlah itu, sebanyak RM1.69 bilion adalah untuk kerja-kerja di Pahang diikuti Terengganu (RM1.4 bilion) dan Kelantan (RM300 juta). 

 

Setakat ini, katanya, sebanyak 403 kontraktor tempatan telah berjaya melepasi proses prakelayakan dan didaftarkan di sistem pendaftaran dalam talian. 

 

"Sebanyak 212 syarikat atau 52% daripada jumlah keseluruhan prakelayakan merupakan kontraktor bumiputera," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Beliau juga berkata, syarikat-syarikat tempatan yang telah dilantik oleh China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) turut layak memohon pembiayaan pinjaman projek daripada SME Bank melalui memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimeterai sejak 18 November 2019 di antara MRL, CCCC dan SME Bank. 

 

Melalui inisiatif ini, kontraktor tempatan turut disokong dengan pilihan pembiayaan kewangan bagi memastikan pelaksanaan kerja-kerja yang menurut jadual dan menepati standard tinggi ditetapkan CCC.

 

Jawatankuasa khas kontraktor tempatan ditubuhkan

 

MRL adalah pemilik projek ECRL dan CCCC bertindak sebagai kontraktor utama Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan & Pentauliahan (EPCC).

 

Bagi memantau pencapaian penyertaan tempatan dalam projek ini, sebuah Jawatankuasa Khas Penyertaan Kontraktor Tempatan dan Bumiputera Projek ECRL telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan.

 

"Diharapkan dengan adanya jawatankuasa khas di peringkat Persekutuan, ia akan berfungsi dalam memastikan penyertaan efektif syarikat-syarikat tempatan yang berkelayakan dalam projek ECRL serta menjadi forum mengetengahkan dan menangani isu-isu berkaitan penyertaan tempatan," jelas beliau. 

 

Sehubungan itu, menurut Mohd. Zuki, MRL dan CCCC telah mencapai persetujuan bagi membolehkan CCCC melantik sekurang-kurangnya 40% sub-kontraktor dan pembekal tempatan bagi kerja-kerja sivil projek ECRL yang tidak termasuk kerja-kerja terowong. 

 

Nilai kerja tersebut dianggarkan berjumlah sehingga RM10 bilion bagi pelaksanaan projek mulai 2017 sehingga 2026. 

 

CCCC juga katanya, telah bersetuju memberi perhatian khas kepada pelantikan kontraktor-kontraktor kecil bersaiz gred G1 hingga G3 bagi memberi manfaat langsung kepada mereka serta keseluruhan pemain industri pembinaan dalam negara. 

 

Sasar kemajuan projek 30% akhir 2021

 

Mengenai sejauh mana pembangunan projek tersebut, beliau memberitahu, pada masa ini, kadar kemajuan pembinaan keseluruhan adalah 19.69%. 

 

"MRL menyasarkan kemajuan pembinaan keseluruhan mencecah 30% menjelang akhir tahun ini," katanya. 

 

Pembinaan ECRL kini merekodkan kemajuan pembinaan yang lebih awal berbanding jadual didorongi oleh kerja-kerja pembinaan di Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (Dungun-Mentakab). 

 

Mohd. Zuki berkata, MRL juga menjangkakan pembinaan projek ECRL akan membawa manfaat besar kepada sektor pembinaan dan bahan binaan tempatan. 

 

"Projek ini akan berfungsi sebagai penanda aras penggandaan positif terhadap kemajuan serta kelestarian ekonomi negara," katanya.

 

ECRL merupakan satu daripada projek mega negara yang menelan kos sehingga RM44 bilion sejauh 640 kilometer menghubungkan Pelabuhan Klang ke Kota Bharu, Kelantan. 

 

Malah, projek double tracking yang dijangka siap pada Disember 2026 itu mampu mengurangkan tempoh perjalanan antara Kota Bharu ke Wilayah Persekutuan Putrajaya kepada hanya kira-kira 4 jam. - DagangNews.com