Syarikat tersenarai di Nasdaq, Demant melancarkan hab teknologi di Kuala Lumpur - pertama di luar Eropah, beri perkhidmatan untuk pasaran global AS$22 bilion | DagangNews Skip to main content

Syarikat tersenarai di Nasdaq, Demant melancarkan hab teknologi di Kuala Lumpur - pertama di luar Eropah, beri perkhidmatan untuk pasaran global AS$22 bilion

Dari kiri, CEO InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli; CIO Demant, Christian Pedersen; KSU MITI, Datuk Seri Isham Ishak; dan GM Hab Teknologi dan Inovasi Demant, Christian Daugbjer pada majlis perasmian Hab Teknologi dan Inovasi Demant di Kuala Lumpur pada 29 Ogos 2023.
oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Syarikat Denmark, Demant, sebuah kumpulan penjagaan kesihatan pendengaran dan teknologi audio terkemuka yang tersenarai di Nasdaq Copenhagen, membuka hab teknologi pertamanya di luar Eropah di Kuala Lumpur (KL) untuk menyokong perjalanan pertumbuhan syarikat dengan sasaran meraih bahagian yang lebih besar dalam pasaran penjagaan kesihatan pendengaran.

 

Pasaran penjagaan kesihatan pendengaran kini dianggarkan bernilai kira-kira AS$22 bilion (RM102 bilion) dengan kadar pertumbuhan purata sekitar 4% setahun. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 5% daripada populasi dunia atau 430 juta orang hidup dengan kehilangan pendengaran. Menjelang 2050, kehilangan pendengaran boleh memberi kesan kepada satu daripada 10 orang, atau lebih 700 juta.

 

Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Isham Ishak merasmikan Hab Teknologi dan Inovasi Demant berkata, “KL berbangga menjadi hab teknologi pertama Demant di luar Eropah dan menjadi sebahagian daripada sejarah kecemerlangan kumpulan yang dibina di atas warisan penjagaan, kesihatan dan inovasi."

 

Menurut beliau, dengan perkongsian Demant, Malaysia terus memperoleh momentum sebagai hab dinamik untuk teknologi dan inovasi di Asia.

 

"Kami berbesar hati untuk menyokong fokus Demant terhadap penjagaan kesihatan pendengaran dan menantikan penyelesaian transformatif untuk berjuta-juta orang di seluruh dunia.

 

“Kami mengalu-alukan syarikat global yang berfikiran sama untuk bekerjasama dengan kami bagi meningkatkan taraf penjagaan kesihatan di seluruh Asia dan dunia. Malaysia ialah destinasi pelaburan yang pro-pelaburan, pro-perdagangan, pro-industri, disokong oleh cadangan perniagaan yang kukuh, kemudahan menjalankan perniagaan yang dipertingkatkan, ekosistem yang teguh, infrastruktur digital dan kumpulan bakat yang dinamik,” ujar beliau.


 

Demant
Datuk Seri Isham Ishak mencuba peralatan diagnostik cangigh Demant dibantu oleh Audioologis Demant, Shafiq Imran Anual (kiri sekali) pada majlis pelancaran Hab Teknologi dan Inovasi Demant di Kuala Lumpur pada 29 Ogos 2023.

 


KL akan menempatkan 65% pasukan R&D dan perisian global Demant

Ketua Pegawai Maklumat Demant, Christian Pedersen berkata, “Pembukaan hab teknologi Demant di KL mengukuhkan komitmen kami untuk mewujudkan kesihatan pendengaran yang mengubah kehidupan. Kami berbesar hati untuk memanfaatkan kumpulan bakat cemerlang KL, lokasi strategik, kepelbagaian, sokongan kerajaan yang berfikiran ke hadapan, dan komitmen untuk mempercepatkan ekonomi digital, untuk membangunkan penyelesaian inovatif Demant.

 

“KL akan menjadi hab diagnostik terbesar kami di luar Eropah, menempatkan 65 peratus pasukan jurutera dan pakar global kami yang akan menerajui dalam membangunkan penyelesaian perisian yang menggabungkan teknologi terkini termasuk Teknologi Buatan (AI).”

 

Demant mempunyai dua pusat R&D lain di Eropah: satu di Copenhagen dan satu lagi di Warsaw, Poland. R&D ialah tonggak utama Demant, menyokong penyelesaian inovatifnya. Pada 2022, kumpulan itu melabur 1.3 bilion DKK (RM880 juta) dalam R&D.

 

Hab teknologi KL akan memberi perkhidmatan kepada pasaran di seluruh dunia dengan tumpuan di Asia, terutamanya Asia Utara. Pada separuh pertama 2023, perniagaan Asia Demant, didorong oleh pertumbuhan ketara di China, mengatasi semua pasaran lain dengan pertumbuhan 34 peratus.

 

Permintaan untuk penjagaan kesihatan pendengaran di seluruh Asia dijangka kekal kukuh dengan peningkatan populasi warga emas. Bank Pembangunan Asia mengunjurkan bahawa populasi warga emas Asia dijangka mencecah hampir 923 juta menjelang 2050.

 

“Menurut WHO, kehilangan pendengaran mempunyai kesan terbesar kepada warga emas, dengan satu daripada empat orang berusia lebih 60 tahun terjejas. Kehilangan pendengaran yang tidak dirawat boleh menyebabkan keletihan mental, pengasingan sosial, dan penarikan diri. Itu boleh menyebabkan kemurungan dan penurunan kognitif, yang boleh mendorong demensia.

 

“KL membolehkan kami membangunkan dan menggunakan teknologi pendengaran termaju untuk membantu mereka yang paling memerlukan perkhidmatan kami,” kata Pedersen.

 

Beliau menambah, “Secara serentak, kami akan membangunkan KL menjadi hab IT Demant untuk berkhidmat di pejabat kami di 30 negara. Pakar IT kami akan memberikan sokongan dalam bidang infrastruktur kritikal, sokongan aplikasi, keselamatan siber dan teknologi awan.”

 

Demant merancang untuk mengambil 200 jurutera dan pakar menjelang 2024, dan menambah bilangan pekerja berkemahiran tinggi sebanyak 50 peratus menjelang 2026. Hab KL akan diketuai oleh Pengurus Besar, Christian Daugbjerg.

 

Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli berkata, “Kami berbesar hati memudahkan penubuhan Hab Teknologi dan Inovasi Demant di Greater KL. Tawaran dan penyelesaian canggih mereka akan mengubah penjagaan kesihatan pendengaran dan menyumbang manfaat limpahan yang besar melalui pemindahan pengetahuan dan penciptaan pekerjaan teknologi canggih untuk rakyat Malaysia. InvestKL akan meneruskan usaha kami untuk mencipta landskap yang kondusif untuk syarikat di barisan hadapan dalam teknologi dan inovasi seperti Demant untuk memastikan pertumbuhan jangka panjang dan mampan di Greater KL.”

 

Demant ialah kumpulan penjagaan kesihatan dan teknologi pendengaran terkemuka dunia yang dibina berdasarkan warisan penjagaan, kesihatan dan inovasi sejak 1904. Beribu pejabat di Denmark, Demant menggaji kira-kira 20,500 orang di seluruh dunia, mempunyai pejabat di 30 negara dan hadir dengan penyelesaian di 130 negara.- DagangNews.com