Syarikat Turkiye terpilih laksanakan projek bina kapal LMS Batch 2 TLDM | DagangNews Skip to main content

Syarikat Turkiye terpilih laksanakan projek bina kapal LMS Batch 2 TLDM

Pemilihan Turkiye dalam projek LMS Batch 2 mengeratkan kerjasama pertahanan.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 30 Jan - Calon bagi projek kapal misi pesisir kumpulan kedua (LMS Batch 2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah diputuskan yang mana proses seterusnya ialah menganugerahkan surat hasrat (LOI) kepada firma terpilih.

 

Kementerian Pertahanan (Mindef) kini pada fasa akhir untuk menyelesaikan dokumentasi tersebut dengan kontrak pembelian dilaksanakan dalam masa terdekat.

 

Fasa seterusnya ialah melaksanakan rundingan teknikal spesifikasi dan klausa kontrak antara TLDM dengan firma terpilih.

 

Ini bermakna keseluruhan proses pembelian LMS Batch 2 akan diselesaikan pada pertengahan tahun ini.

 

 

Lms
Korvet kelas Ada buatan Turkiye.

 

Walaupun masih belum ada kenyataan rasmi berhubung penyerahan LOI ini tetapi boleh dijangkakan ia dibuat semasa pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 pada Mei nanti di Kuala Lumpur.

 

Walaupun DSA lebih cenderung kepada pameran pertahanan untuk aset tentera darat tetapi menyempurnakan majlis penyerahan LOI dilihat sesuai bagi acara tersebut yang dihadiri ramai wakil luar negara.

 

Mindef pada Disember lepas telah pun mengumumkan bahawa kapal buatan Turkiye akan menjadi pilihan bagi LMS Batch 2 TLDM, cuma syarikat yang terpilih belum diputuskan.

 

Antara syarikat Turkiye yang bersaing seperti STM dengan korvet kelas Ada, korvet Dearsan C92 manakala TAIS Shipyard dengan OPV 92.

 

LMS
Sebuah kapal OPV Nigeria yang dibina syarikat Turkiye.

 

Keputusan untuk memilih kapal LMS buatan Turkiye bukan sahaja baik daripada segi hubungan antara negara, malah juga kualiti serta teknologi yang dimiliki.

 

Sebagai negara dalam Pakatan Pertahanan Atlantik Utara (NATO), Turkiye telah membangunkan industri pertahanan dengan kemampuan setanding negara barat.

 

Malah, Turkiye memilki angkatan tentera yang kedua terbesar dalam anggota NATO selepas Amerika Syarikat.

 

Tiga buah kapal LMS daripada rancangan lapan buah kesemuanya ini melibatkan perbelanjaan besar iaitu dianggarkan bernilai RM6.6 bilion.

 

LMS
Kapal LMS Batch pertama TLDM buatan China.

 

Bakinya pula semasa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

 

Mengikut perancangan TLDM dapat menerima kapal pertama pada tahun 2026 diikuti kapal seterusnya setahun kemudian.

 

Sekiranya program LMS Batch 2 diteruskan sepertimana dirancang, bermakna pada tahun 2026 juga pihak TLDM boleh memulakan usaha membeli baki lima buah lagi kapal 

 

Jika firma perkapalan Turkiye masih dikekalkan sebagai pilihan, ini lebih memudahkan daripada aspek logistik dan selenggaraan.

 

LMS
TLDM memerlukan kapal-kapal perang yang dilengkapi dengan sistem persenjataan termasuk peluru berpandu agar dapat memikul tanggungjawab menjaga perairan negara.

 

Bagaimana pun, kemungkinan TLDM menukar negara pembuat juga tidak mustahil jika melihat pada trend sedia ada angkatan tersebut.

 

Ini kerana TLDM sejak 30 tahun lalu cenderung untuk memilih firma perkapalan yang berbeza-beza untuk setiap projek pembelian aset baharu.

 

Kecenderungan ini juga sebenarnya bergantung kepada dasar kerajaan yang turut melihat perolehan pertahanan sebagai satu daripada cabang meningkatkan hubungan diplomatik selain ekonomi. - DagangNews.com