Syed Hamadah dilantik sebagai pengarah baharu Bank Islam | DagangNews Skip to main content

Syed Hamadah dilantik sebagai pengarah baharu Bank Islam

Syed Hamadah Syed Othman dilantik sebagai pengarah bukan bebas bukan eksekutif Bank Islam
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Jan - Bank Islam Malaysia Bhd mengumumkan perubahan kepada komposisi lembaga pengarah dan pelantikan ahli baharu Majlis Pengawasan Syariah.

 

Syed Hamadah Syed Othman dilantik sebagai pengarah bukan bebas bukan eksekutif manakala Prof Madya Dr Nurul Aini Muhamed pula akan menyertai Majlis Pengawasan Syariah berkuat kuasa 1 Januari 2024. 

 

Sementara itu, Datuk Bazlan Osman akan menggantikan Azizan Ahmad yang akan bersara daripada jawatan pengarah kanan bebas bukan eksekutif pada 2 Januari 2024.

 

Pelantikan Syed Hamadah akan mengukuhkan lagi komposisi pengarah kumpulan dalam peranannya untuk memacu strategi lima tahun pelan perniagaan (LEAP25). 

 

Ia bertujuan menjadikan Bank Islam sebagai peneraju rumusan kewangan lengkap patuh syariah dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dengan kepimpinan dalam perbankan digital dan kewangan sosial. 

 

Syed Hamadah kini merupakan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, ahli Lembaga Pengarah Private Pension Administrator Malaysia, TH Plantations Bhd dan TH Properties Sdn Bhd. Beliau juga merupakan Pengarah dan Rakan Kongsi Kanan Actuarial Partners Consulting Sdn Bhd.

 

Beliau pernah bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], penasihat aktuari di Mercer Zainal Consulting Sdn Bhd dan penganalisis teknikal di Petronas Trading Corporation Sdn Bhd. 

 

Syed Hamadah mendapat Scottish Higher Education Certification dari Clydebank College United Kingdom (UK). Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains, Matematik Aktuari dan Statistik, Universiti Heriot Watt, Edinburgh, UK. 

 

Beliau juga adalah Felo Fakulti dan Institut Aktuari, United Kingdom dan Persatuan Aktuari Malaysia.

 

 

bankislam
Prof Madya Dr Nurul Aini Muhamed

 

 

Sementara itu, Nurul Aini kini bertugas sebagai Profesor Madya di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), ahli Jawatankuasa Syariah Great Eastern Takaful Bhd, Wakaf Felda dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK). 

 

Beliau juga merupakan ahli aktif Persatuan Muamalat Malaysia (MMA) dan Persatuan Penasihat Syariah dalam Kewangan Islam (ASAS).

 

Pengalaman luas beliau meliputi peranan terdahulu sebagai Timbalan Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat USIM, ahli Jawatankuasa Syariah BNP Paribas Malaysia Bhd, Hong Leong Islamic Bank Bhd dan Hong Leong MSIG Takaful.

 

Nurul Aini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Syariah dari Universiti Malaya, Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Latihan Kewangan Islam dari INCEIF. Beliau juga memegang Ijazah Kedoktoran Pengurusan dan Perniagaan dari Universiti South Australia.

 

Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, beliau yang mewakili lembaga pengarah mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan Syed Hamadah dan Profesor Nurul Aini ke Kumpulan Bank Islam. 

 

"Bersandarkan pengalaman dan ilmu yang dimiliki, kami mengharapkan sokongan dan bimbingan mereka untuk mengembangkan perniagaan serta membawa bank ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan media di sini.
 - DagangNews.com