KUALA LUMPUR 6 Sept - Penyedia korporat digital, Systech Bhd jalin kerjasama dengan Pinetop Technology Venture bagi menubuhkan pusat data kecerdasan buatan (AI) termaju di Malaysia.
Perjanjian Kerjasama itu ditandatangani oleh anak syarikat milik penuh Systech, SysAIU Sdn Bhd yang bertujuan untuk memanfaatkan kepakaran gabungan rumusan AI dan teknologi maklumat (IT) bagi memacu pembangunan pusat data.
Systech berkata, menerusi perjanjian itu, SysAIU akan mendapatkan serta menguruskan peralatan dan infrastruktur penting seperti unit pemprosesan grafik berprestasi tinggi (GPU), pelayan, sistem storan, peralatan rangkaian, sistem penyejukan dan unit bekalan kuasa.
“SysAIU juga akan menyelia pemasangan, konfigurasi dan penyelenggaraan sistem ini, memastikan ia memenuhi piawaian industri tertinggi.
“Selain itu, SysAIU akan menyediakan sokongan teknikal, latihan dan sumber untuk memudahkan penggunaan infrastruktur yang cekap dan berkesan,” ujarnya.
Systech turut menjelaskan Pinetop sebaliknya, akan membangunkan aplikasi dan perisian yang diperlukan untuk operasi pusat data.
“Ini termasuk menulis kod, menguji, dan melancarkan perisian yang akan mengoptimumkan fungsi dan kecekapan pusat data.
“Peranan Pinetop akan menjadi penting dalam memastikan pusat data bukan sahaja memenuhi keperluan teknologi semasa tetapi juga dapat menyesuaikan diri dengan kemajuan akan datang dalam teknologi AI dan pemprosesan data,” ulasnya.
Pengarah Urusan Systech Bhd, Datuk Derrick Hooi berkata, kerjasama memberikan peluang untuk menyepadukan kekuatan syarikat dalam AI dan keselamatan siber dengan kepakaran Pinetop dalam operasi pusat data dan mengaplikasi perisian.
“Perkongsian ini bukan sahaja mengukuhkan komitmen kami terhadap inovasi tetapi juga meletakkan kami untuk memanfaatkan peluang baru muncul dalam ekonomi digital,” ulas beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif Pinetop Technology Venture Sdn Bhd, Eizaz Azhar menekankan kepentingan kerjasama itu dalam perjalanannya untuk memajukan AI dan teknologi pusat data di Malaysia.
“Dengan menggabungkan kepakaran kami dalam operasi dipacu AI dengan penyelesaian termaju dan servis GPU berprestasi tinggi SysAIU, kami yakin kerjasama ini akan membawa kepada pembangunan pusat data bertaraf dunia yang mampu memenuhi keperluan landskap digital yang berkembang,” katanya.- DagangNews.com