T7 Global peroleh kontrak RM74.6 juta daripada Mindef, bekal sistem pengurusan trafik udara kepada TUDM | DagangNews Skip to main content

T7 Global peroleh kontrak RM74.6 juta daripada Mindef, bekal sistem pengurusan trafik udara kepada TUDM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Pembekal rumusan tenaga, T7 Global Bhd menerusi T7 kemuncak Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM74.6 juta daripada Kementeria Pertahanan.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, menerusi kontrak itu, kumpulan itu bertanggungjawab membekal, menghantar, menguji dan menjalankan sistem radar pengawasan lapangan terbang (ASR), sistem komunikasi, dan peralatan sistem pengurusan trafik udara berkaitan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia ( TUDM) dan Kerajaan Malaysia.

 

"Kontrak adalah selama lima tahun bermula 5 Ogos 2024 hingga 4 Ogos 2029," katanya.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Tan Kay Zhuin berkata,  pihaknya berbesar hati mengumumkan pemerolehan kontrak itu dan ia menandakan pencapaian penting bagi segmen rumusan perindustrian syarikat itu. 

 

"Ini mempamerkan keupayaan kami dalam menghasilkan rumusan bersepadu untuk TUDM, yang merangkumi sistem radar pengawasan udara berprestasi tinggi bagi memastikan keselamatan, kebolehpercayaan dan kecekapan yang dipertingkatkan bagi keupayaan pengawasan lapangan terbang TUDM.

 

"Sistem ini akan memberikan kesedaran situasi lanjutan untuk pengawal trafik udara TUDM dan mengoptimumkan pengurusan ruang udaranya," katanya.

 

Beliau berkata, kumpulan itu komited untuk mempelbagaikan aliran pendapatan bagi menyokong pertumbuhan mampan untuk kumpulan.- DagangNews.com