T7 Global raih kontrak RM21.17 juta bekal meter pintar kepada TNB | DagangNews Skip to main content

T7 Global raih kontrak RM21.17 juta bekal meter pintar kepada TNB

Gambar ihsan FB T7 Global
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Okt - T7 Global Berhad telah meraih kontrak bernilai RM21.17 juta daripada Tenaga Nasional Bhd untuk membekalkan meter pintar.

 

Pembekal rumusan tenaga itu berkata anak syarikatnya, T7 Wenmax Sdn Bhd akan membekal dan menghantar 79,800 unit Meter Pintar Frekuensi Radio Fasa Tunggal, berserta 19,950 unit Meter Pintar Frekuensi Radio Fasa Tiga, sejajar dengan pelaksanaan infrastruktur pemeteran lanjutan (AMI) yang sedang dilaksanakan oleh TNB.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata kontrak terbabit adalah bagi tempoh dua tahun dari 29 September 2023 hingga 28 September 2025.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan T7 Global, Tan Kay Zhuin berkata dengan pelancaran AMI, sistem itu akan membolehkan penggunaan elektrik harian direkodkan dan ditukar kepada data.

 

“Ini akan membantu pengguna untuk mengawal penggunaan elektrik mereka dengan lebih baik dan mengurangkan pelepasan karbon.

 

 

Tan Kay Zhuin
Tan Kay Zhuin

 

 

“Kami komited untuk mengatasi krisis iklim menerusi penggunaan teknologi dan menyokong TNB dalam mencapai aspirasi sifar bersih mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Kumpulan itu berkata kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 hingga 2025 (FY23-25).

 

Pada rehat tengah hari ini, saham T7 Global menokok 0.5 sen atau 1.1% kepada 46 sen, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran berjumlah RM349.2 juta.   - DagangNews.com