KUALA LUMPUR 13 April - Syarikat penyelesaian tenaga, T7 Global menerusi anak syarikatnya T7 Intelligent Resources Sdn. Bhd. (T7IR) berjaya mendapatkan kontrak selama dua tahun bernilai RM6 juta untuk membekalkan tenaga kerja teknikal dan bukal teknikal kepada syarikat minyak dan gas, Hess Exploration and Production Malaysia B.V. (Hess).
Menerusi kontrak itu, tenaga kerja yang akan dibekalkan adalah untuk Projek Pembangunan Gas Bersepadu lembangan Malaysia Utara.
Pengerusi kumpulan, Datuk Seri Dr. Nik Norzul Thani N. Hassan Thani berterima kasih kepada Hess kerana mempercayai kemampuan mereka untuk terlibat dengan projek pembangunan itu.
"Ini merupakan kontrak kedua pembekalan tenaga kerja yang diraih kumpulan pada tahun ini dan pada masa sama berharap momentum positif itu dapat diteruskan.
"Kami akan terus memperbaiki standard kami dalam menyediakan perkhidmatan cemerlang kepada pelanggan kami untuk tempoh jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kontrak yang diraih itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset T7 Global untuk dua tahun akan datang.
T7IR secara dasarnya terlibat dengan pengambilan pekerja untuk penyelesaian tenaga, teknologi maklumat, perbankan, perkhidmatan kewangan dan industri pembinaan.
Visi mereka adalah untuk menggalakkan pengambilan dan pembangunan bakat Malaysia dalam industri ICT dan ruang digital selain minyak dan gas serta industri tenaga baharu. - DagangNews.com