KUALA LUMPUR 25 Julai - TA Research mengurangkan unjuran pendapatan KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan 2025 (FY24-25) kira-kira 4% selepas mengambil kira keputusan FY23 sebenar dan andaian kos hutang yang lebih tinggi.
Sementara itu, anggaran pengagihan setiap unit (DPU) untuk FY24-25 turun hanya kira-kira 1% setelah firma itu menyemak semula andaian pembayaran agihan daripada 90% kepada 93%.
Firma penyelidikan itu turut memperkenalkan anggaran DPU bagi FY26 sebanyak 7.4sen seunit, mewakili peningkatan sederhana sebanyak 3.1%.
“Kami masih belum memasukkan sumbangan daripada KIPMall Kota Warisan dan kesan penempatan persendirian ke dalam model pendapatan kami, sementara menunggu pelaksanaan selesai, yang dijadualkan pada penghujung 2023 (atau penghujung 2QFY24 iaitu Oktober sehingga Disember),” tambahnya.
Selepas mengambil kira perubahan dalam unjuran DPU, TA Research mengurangkan harga sasaran (TP) kepada RM1.04 seunit (sebelum ini RM1.05), berdasarkan hasil sasaran tahun kalendar 2024 yang tidak berubah sebanyak 6.75% dengan saranan dikekalkan ‘beli’.
Mengulas mengenai keputusan FY23 baru-baru ini, firma itu berkata keuntungan bersih KIP REIT sebanyak RM39.5 juta adalah di bawah jangkaan setahun penuhnya dengan mencakupi 94% daripadanya.
Jelasnya, varians negatif tersebut sebahagian besarnya akibat kos kewangan yang lebih tinggi daripada jangkaan, di mana pendapatan hartanah bersih (NPI) pada FY23 sejajar dengan 98% daripada ramalan firma.
“Margin NPI FY23 menurun sebanyak 2.8% mata kepada 74.2% disebabkan oleh perbelanjaan hartanah yang lebih tinggi seperti utiliti, kos pembayaran balik dan penyelenggaraan bangunan,” jelasnya.
TA Research berkata pengurusan KIP REIT kekal optimistik mengenai prospeknya, memetik prestasi kukuh portfolio hartanah sedia ada dan usaha berterusan untuk menambah baik strategi pajakan dan operasi.
Mereka secara aktif mengejar pelaburan berkualiti tinggi, mengukuhkan kepercayaan mereka dalam mengekalkan prestasi yang stabil sepanjang FY24, tambahnya.
“Selain itu, pihak pengurusan komited terhadap pengurusan modal yang berhemat untuk menyampaikan DPU yang mampan kepada Pemegang Unit dan akan meneroka peluang pertumbuhan dalam sektor runcit dan perindustrian,” katanya.
Pada waktu penulisan, KIP REIT didagangkan tidak berubah pada 90 sen dengan modal pasarannya bernilai RM545.7 juta. - DagangNews.com