TA Securities optimis terhadap kontrak baharu Ibraco, tingkat buku pesanan kepada RM1.56 bilion | DagangNews Skip to main content

TA Securities optimis terhadap kontrak baharu Ibraco, tingkat buku pesanan kepada RM1.56 bilion

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov - TA Securities optimis terhadap kontrak baharu Ibraco Berhad bernilai RM568.6 juta bagi kerja infrastruktur Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang meningkatkan buku pesanan pembinaannya kepada RM1.56 bilion daripada RM992 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata kemenangan kontrak berkenaan menunjukkan rekod prestasi Ibraco sebagai penggiat utama dalam industri pembinaan Sarawak dan komitmennya untuk memaksimumkan pulangan pemegang saham.

 

“Jika kita mempertimbangkan margin bersih 6% dan bahagian Ibraco dalam usahasama, dianggarkan antara 50% hingga 60%, projek itu dijangka menghasilkan keuntungan bersih antara RM17.1 juta hingga RM20.5 juta sepanjang tempoh kontrak.

 

“Namun begitu, kami mengekalkan unjuran pendapatan sementara menunggu maklumat tambahan tentang struktur usahasama dalam konsortium,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma itu berkata, kontrak baharu tersebut tidak mengejutkan memandangkan kerjasama terdahulu antara Ibraco dan Sarawak Metro, seperti yang dibuktikan oleh memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani pada 18 Julai 2022, menekankan usahasama mereka dalam membina stesen Transit Pantas Autonomi (ART) bagi perbandaran The NorthBank Ibraco.

 

Tambahnya, pihak pengurusan sebelum ini telah menyatakan bahawa kumpulan itu adalah pembida berdaftar untuk projek KUTS.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Syarikat kerjasama Ibraco raih kontrak bernilai RM569 juta bagi projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching

 

 

Menurut firma itu, kemenangan baharu ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi Ibraco di Sarawak, berikutan kejayaannya membida kontrak RM530 juta untuk membina sebahagian jalan utama kedua di Samarahan pada 31 Julai 2023.

 

Walaupun mempunyai buku pesanan yang tinggi, TA Securities berkata pengurusan Ibraco kekal proaktif dalam mencari projek bangunan dan infrastruktur tambahan daripada sektor awam dan swasta, dengan buku tender semasa berjumlah RM500 juta, mengukuhkan lagi prospek pertumbuhan kumpulan

 

TA Securities mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) 68 sen sesahan berdasarkan sasaran gandaan nisbah harga kepada pesanan 2023 sebanyak 0.7 kali.

 

Setakat pukul 11:11 pagi ini, saham Ibraco telah menokok 28.5 sen atau 46% kepada 90.5 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM494.2 juta.  - DagangNews.com