TA Securities semak turun unjuran pinjaman pengguna kepada 5.9% pada tahun ini berbanding 6.1% | DagangNews Skip to main content

TA Securities semak turun unjuran pinjaman pengguna kepada 5.9% pada tahun ini berbanding 6.1%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Feb - TA Securities menyemak turun unjuran pinjaman pengguna kepada 5.9% pada tahun ini berbanding 6.1% berbanding tahun sebelumnya.

 

Katanya, unjuran itu adalah disebabkan penurunan kadar kelulusan pinjaman pengguna sejak beberapa bulan lalu tetapi mendapat sokongan daripada pinjaman gadai janji, sewa beli  dan kad kredit.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan pertumbuhan lemah dari segi jualan hartanah sebanyak 6% berbanding unjuran 12% pada 2023.

 

"Selain itu, terdapat tanda-tanda pengurangan tempahan jualan yang mungkin diterjemahkan kepada jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) yang lebih rendah pada 2024, yang kami unjurkan pada 650,000 unit, mencerminkan penurunan 7.1% dari tahun ke tahun," katanya dalam satu nota kajian.

 

TA Securities berkata, daya tahan segmen perniagaan akan mendorong peningkatan ketara dari segi pinjaman manakala pinjaman pengguna dijangka kekal stabil.

 

Pada tahun ini, firma itu menjangkakan inisiatif yang diterajui kerajaan akan merangsang pelaburan selain menggiatkan semula ekonomi terutamanya aktiviti pembinaan dan infrastruktur seperti MRT3, LRT Pulau Pinang, rel berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura, dan 33 projek tebatan banjir keutamaan tinggi bernilai RM11.8 bilion.

 

Katanya, selain itu, pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) adalah sejajar dengan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dijangka merancakkan aktiviti domestik dan menarik pelaburan asing.

 

"Didorong oleh unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pelaburan swasta yang lebih optimis, kami menyemak naik unjuran pertumbuhan pinjaman perniagaan kepada 5.6% berbanding 4.2%.

 

"Secara keseluruhan, kami meningkatkan unjuran pertumbuhan pinjaman 2024 kepada 5.8% daripada 5.1%," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perbankan atas beberapa faktor termasuk kebimbangan asas kemerosotan dalam aset kualiti akibat kejutan luaran yang ketara seperti konflik berterusan di Asia Barat yang boleh mengakibatkan peningkatan ketara terhadap tekanan inflasi.

 

Selain itu katanya, potensi sumbangan yang lebih lemah daripada operasi luar negara dan peningkatan berterusan dari segi kos operasi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap CIMB Group Holdings Bhd dan Alliance Bank Malaysia Bhd manakala saranan 'pegang' ke atas RHB Bank Bhd dan saranan 'jual' terhadap Public Bank Bhd serta Affin Bank Bhd. 

 

"Kami juga menyemak turun saranan AMMB Holdings Bhd kepada 'jual'," katanya.- DagangNews.com