Taiping Soup Kitchen raih Anugerah Muhibbah Kelab Akhbar Kebangsaan-Macrokiosk bagi Julai 2023 | DagangNews Skip to main content

Taiping Soup Kitchen raih Anugerah Muhibbah Kelab Akhbar Kebangsaan-Macrokiosk bagi Julai 2023

(Dari kiri) Pengasas bersama Taiping Soup Kitchen, Dalbir Singh, Aileen Oon, Datuk Balraaj Singh, Sivanesan Achalingam, Datuk Kenny Goh, Timbalan Presiden NPC, Haresh Deol dan Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Teh Kok Lim.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai - Rakyat Malaysia yang prihatin di Taiping, Perak yang telah menyumbang masa, usaha dan sumber mereka selama enam tahun mengendalikan dapur amal di kuil Sikh telah memenangi Anugerah Muhibbah Kelab Akhbar Kebangsaan-Macrokiosk bagi Julai 2023.

 

Kumpulan yang lebih dikenali sebagai Taiping Soup Kitchen, menerima anugerah daripada Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri Perak, Sivanesan Achalingam, yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

 

Kumpulan sukarelawan berbilang kaum ini memenangi undian dan penilaian para juri, yang terdiri daripada pengarang dan wartawan kanan pelbagai media.

 

Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC), Datuk Ahirudin Attan berkata, masyarakat Taiping yang memenangi anugerah Julai, wajar dipilih kerana menunjukkan semangat muhibbah secara konsisten dengan menyajikan hidangan panas kepada golongan kurang berkemampuan tanpa mengira latar belakang atau pegangan agama mereka.

 

"Kami gembira melihat bagaimana inisiatif kami bersama MACROKIOSK berjaya membantu membangkitkan semangat muhibbah.

 

"Secara kebetulan, bagi Mei lalu, pihak masjid telah menjadi pemenang, diikuti institusi pendidikan yang dibangunkan seorang paderi Kristian bersama isterinya pada Jun. Hari ini, kami berdiri di gurdwara untuk mengiktiraf sumbangan kumpulan sukarelawan berbilang kaum yang beroperasi dari kuil Sikh ini," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Makrokiosk, Datuk Kenny Goh berkata, usaha kumpulan itu untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat melalui keterlibatan sukarelawan pelbagai kaum yang bermotivasi tinggi memukau para juri kerana mereka bersungguh-sungguh menjiwai semangat muhibbah.

 

 

taiping

 

 

Katanya, pihaknya berharap anugerah ini akan menarik lebih banyak perhatian kepada Taiping Soup Kitchen agar lebih ramai sukarelawan khususnya golongan muda untuk menyertai usaha murni ini.

 

"Kami difahamkan beberapa pasar raya dan peniaga di sekitar kawasan Taiping telah memberikan sokongan berbentuk barangan kepada mereka. Kami berharap lebih banyak perniagaan dapat menyokong inisiatif murni Taiping Soup Kitchen ini," katanya.

 

Pengasas bersama Taiping Soup Kitchen, Datuk Balraaj Singh pula berkata, pengiktirafan terhadap usaha mereka merupakan satu penghormatan, dan anugerah ini memberikan dorongan untuk terus berkhidmat. 

 

"Kami berharap pengiktirafan ini dapat menarik lebih ramai sukarelawan untuk menyertai kami. Paling penting, kami komited untuk terus menghayati semangat Muhibbah sebagai rakyat Malaysia yang sejati," katanya.  - DagangNews.com