Tak kisah OPR naik, masih ramai berminat beli kereta baharu - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Tak kisah OPR naik, masih ramai berminat beli kereta baharu - RHB Investment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Feb - RHB Investment Research mendapati tempahan kenderaan terus meningkat, malah lebih kukuh daripada jangkaannya di sebalik persekitaran kadar faedah yang tinggi. 

 

Ini kerana menurutnya, kitaran kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) semakin mencapai penghujungnya yang dijangka mencecah sekitar 3 hingga 3.25%, menjadikan sentimen pengguna  lebih baik. 

 

Semakan yang dijalankannya menunjukkan, kenaikan kadar sewa beli tidak memberi sebarang impak kepada pembeli (khususnya jenama tempatan) dan dalam sesetengah keadaan ia kekal antara 3.3 hingga 3.5% (dengan anggaran pinjaman kurang daripada RM50,000 dengan tempoh pinjaman 9 tahun).

 

"Analisis senstiviti kami juga mendapati apabila kadar sewa beli meningkat sehingga 3.5% daripada 3%, ia hanya menyaksikan kenaikan bayaran bulanan maksimum RM15 sahaja. 

 

"Data Bank Negara Malaysia (BNM) turut menunjukkan kadar kelulusan pembelian kenderaan juga tidak menurun, sebaliknya meningkat sejak separuh kedua 2021," katanya dalam nota kajian hari ini

 

Mengambil kira faktor tersebut, RHB Investment menyemak naik penarafan sektor automotif kepada 'overweight' daripada 'neutral' sebelum ini.

 

Firma itu kembali optimis terhadap sektor berkenaan didorong terutamanya tempahan yang lebih kukuh melebihi jangkaan. 

 

Selain itu, terdapat kemungkinan pembaharuan semula duti eksais yang sepatutnya dilaksanakan tahun ini, masih lagi kabur setakat ini.

 

Sebelum ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengunjurkan harga kenderaan akan meningkat antara 8 hingga 20% sekiranya langkah itu dilaksanakan. 

 

"Bagaimanapun, setelah dua bulan memasuki 2023, masih belum terdapat petanda yang jelas mengenai pelaksanaannya, justeru, kami percaya pembaharuan ini mungkin bukan langkah popular untuk dilaksanakan tahun ini.

 

"Penangguhan ini secara tidak langsung mengurangkan ketidaktentuan terhadap sektor automotif, dan memberi impak positif kepada jualan kenderaan pada 2023," jelasnya.

 

Di samping itu, masalah rantaian bekalan juga semakin berkurangan sepanjang 2022, dan tidak lagi menjadi kekangan pada tahun ini. 

 

Ini secara tidak langsung membolehkan perancangan pengeluaran yang lebih baik dan kepastian yang lebih besar dalam penghantaran.

 

Secara keseluruhan, RHB Investment menaikkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) 2023 kepada 680,000 daripada 600,000 sebelum ini, lebih tinggi daripada unjuran MAA sebanyak 650,000 unit. - DagangNews.com