Takaful Malaysia tawar kad perubatan mampu milik serendah RM38 sebulan melalui platform digital baharu KAOTIM | DagangNews Skip to main content

Takaful Malaysia tawar kad perubatan mampu milik serendah RM38 sebulan melalui platform digital baharu KAOTIM

(Dari kiri) Nor Azman Zainal, Datuk Mohammed Hussein, Ismail Mahbob, Mohamed Sabri Ramli dan Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Takaful Malaysia, Siti Hajar Rizlan ketika majlis pelancaran platform digital dan jenama baharu KAOTIM pada 29 November 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Nov - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, pengendali takaful pertama negara melancarkan KAOTIM, sebuah platform digital dan jenama baharu yang diuruskan Takaful Malaysia. 

 

KAOTIM adalah satu inisiatif digital bertujuan memberikan pengalaman yang lebih mesra pelanggan dan selamat. Dengan KAOTIM, para pelanggan dapat  menikmati proses pelangganan dalam talian yang mudah dan pantas. 

 

Platform ini menawarkan MediKad, pelan perlindungan perubatan semua-dalam-satu pada harga mampu milik untuk rakyat Malaysia. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, pelancaran KAOTIM menunjukkan usaha strategik pihaknya mengukuhkan kedudukan dalam bidang insurans dan takaful digital. 

 

Beliau berkata, KAOTIM memperkukuhkan komitmen untuk memberikan pengalaman yang lebih mesra pelanggan kepada generasi kini. 

 

Katanya, menerajui inisiatif digital, pihaknya melangkah ke hadapan untuk menjadi peneraju digital dalam industri insurans dan takaful dan memenuhi aspirasi jangka panjang ke arah pendigitalan industri perkhidmatan kewangan, gelombang digital dalam sektor insurans dan takaful sejajar dengan aspirasi negara untuk meningkatkan daya saing ekonomi dan dinamisme untuk pertumbuhan ekonomi digital.

 

"Pengenalan KAOTIM menyokong langkah strategik kami dalam mengukuhkan perniagaan peruncitan, menarik segmen pelanggan baru sekali gus membolehkan transaksi dalam talian yang lebih lancar sesuai dengan gaya hidup terkini. 

 

 

takaful

 

 

"Kami berbangga dengan pencapaian ini. Kami memanfaatkan teknologi digital dalam usaha kami untuk menawarkan pelbagai produk yang lebih mesra pelanggan. 

 

"Dengan pelancaran KAOTIM, kami  memperkenalkan MediKad, pelan perlindungan perubatan yang murah dengan penjimatan lebih besar dari serendah RM38 sebulan bagi memenuhi keperluan perlindungan kumpulan umur yang berbeza," katanya dalam kenyataan akhbar di sini.

 

Hadir pada majlis pelancaran KAOTIM ialah Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohammed Hussein; Pengerusi Takaful Malaysia Am (cabang Takaful Am bagi Takaful Malaysia Keluarga), Ismail Mahbob; Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli dan pengurusan kanan Takaful Malaysia. 

 

MediKad menyediakan kemasukan hospital tanpa tunai ke hospital panel di Malaysia dan tempoh kemasukan  hospital tanpa had serta elaun tunai harian untuk kemasukan ke hospital kerajaan. 

 

Ditawarkan kepada rakyat Malaysia berumur antara 6 hingga 69 tahun dengan tempoh perlindungan sehingga 85 tahun, pelanggan boleh memilih daripada tiga pelan berbeza dengan pilihan rider, MediBooster,  mengikut keperluan perlindungan mereka dan dilindungi serta-merta selepas melengkapkan empat langkah pendaftaran dalam talian dan soal selidik perubatan mudah, tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan. 

 

Nor Azman berkata, pelanggan boleh melanggan MediKad dalam talian melalui KAOTIM, pada bila-bila masa, di mana sahaja dan menyelesaikan transaksi dalam beberapa minit hanya dengan beberapa klik dan terus dilindungi pada hari yang sama. 

 

Katanya, dengan kos transaksi platform digital yang lebih rendah, pihaknya dapat menawarkan harga yang lebih baik dan pelan takaful yang lebih mudah untuk dilanggan di pasaran. 

 

"Ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif  kami untuk membantu mengurangkan beban kos perubatan yang tinggi yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dengan menawarkan pelan perlindungan perubatan mampu milik.

 

"Servis yang mudah diakses adalah sangat penting pada hari ini. Oleh itu, melalui KAOTIM, kami lebih dekat  dengan pelanggan kami di mana sahaja mereka berada. 

 

"Pelancaran KAOTIM dan pengenalan MediKad bersempena ulang tahun ke-39 kami, menjadikannya lebih bermakna. Ini adalah sebahagian daripada perjalanan kami dalam usaha mengukuhkan kedudukan kami sebagai institusi kewangan Islam terkemuka dan kekal relevan dalam industri insurans dan takaful," ujar beliau. - DagangNews.com