Tanpa PKP menyeluruh, ekonomi masih berisiko | DagangNews Skip to main content

Tanpa PKP menyeluruh, ekonomi masih berisiko

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Mei - Meskipun penganalisis optimis terhadap pemulihan ekonomi berikutan langkah kerajaan yang tidak menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara menyeluruh, namun ia tetap memberi risiko kepada pertumbuhan. 

 

Banyak faktor mendorong kepada situasi berkenaan, terutama bergantung kepada perkembangan semasa penularan wabak COVID-19, pelancaran vaksin dan juga ketidaktentuan politik. 

 

Bagi Kenanga Research, firma itu mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini antara 6 hingga 6.5% manakala 5 hingga 5.5% pada 2022.

 

Jelasnya, unjuran itu dibuat setelah mengambil kira pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang dilaksanakan ketika ini di sebalik peningkatan kadar jangkitan masih membimbangkan. 

 

"Namun, kami menjangkakan pertumbuhan separuh kedua lebih tinggi pada 6.4% (berbanding separuh pertama, 6.1%) didorong oleh program vaksin yang sedang berjalan. 

 

"Selain itu, ia juga disokong menerusi bantuan bersasar dari kerajaan dan peningkatan pertumbuhan eksport di tengah-tengah harga minyak tinggi dan permintaan luaran yang kukuh bagi peralatan berkaitan COVID-19 dan juga semikonduktor," katanya dalam nota kajian hari ini.   

 

Pada Jumaat, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju memperketatkan PKP yang sedang berkuat kuasa ke atas sektor ekonomi dan sosial bagi membendung penularan pandemik COVID-19. 

 

Momentum pemulihan


Menurut Kenanga Research, keputusan kerajaan tidak melaksanakan PKP menyeluruh dapat mengekalkan momentum pemulihan ekonomi meskipun prosedur operasi standard (SOP) yang ketat boleh menyebabkan semakan semula yang rendah terhadap julat pertumbuhan KDNK. 

 

Firma itu merujuk kepada kaji selidik yang dijalankan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia (SMEAM) menunjukkan hampir 40% PKS menjangkakan PKP penuh seperti PKP 1.0, akan mengurangkan pendapatan mereka lebih 50% yang boleh menggagalkan proses pemulihan ekonomi.

 

"Kami berpendapat, kajian SMEAM ini adalah berdasarkan kepada anggaran kerugian harian seperti diunjurkan Kementerian Kewangan ketika PKP 1.0 sebanyak RM2.4 bilion sehari bagi tempoh 18 Mac hingga 3 Mei 2020. 

 

"PKP 2.0 bagi tempoh 13 Januari hingga 18 Februari 2021 pula menyaksikan anggaran kerugian antara RM300 hingga RM400 juta sehari," katanya. 

 

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, golongan rentan dan berpendapatan rendah akan menjadi paling terkesan seandainya PKP menyeluruh dilaksanakan.

 

Beliau berkata, berdasarkan kaji selidik kesan PKP 1.0 pada isi rumah dan perniagaan, menunjukkan 53% terjejas teruk oleh PKP.

Pelaksanaan PKP secara menyeluruh akan menggugat mata pencarian kira-kira 2.8 juta rakyat bekerja sendiri atau mengambil upah harian dengan sebanyak satu pertiga isi rumah tidak mampu mengekalkan perbelanjaan untuk lebih sebulan; 82% pekerja swasta hanya mempunyai simpanan kurang 2 bulan dan kumpulan B40 yang bekerja sendiri tidak mempunyai insurans perlindungan pekerjaan.

 

Kementerian Kewangan

 

Kedudukan hutang kerajaan

 

Dari segi defisit fiskal pula, Kenanga Research berkata, unjuran tahun ini masih dikekalkan pada 6.3% daripada KDNK dengan mengambil kira hasil pertumbuhan yang sederhana dan perbelanjaan fiskal yang tinggi berikutan kesan berpanjangan PKP sejak Januari. 

 

Setakat Mac 2021, kedudukan fiskal adalah berjumlah -RM37.1 bilion, peningkatan 31.6% tahun ke tahun berbanding tahun sebelumnya apabila perbelanjaan (17.8%) melebihi pendapatan (9.3%).   

 

Unjuran itu juga, katanya, sudah mengambil kira jika kerajaan melaksanakan sekali lagi bantuan fiskal dan pertumbuhan KDNK yang rendah berbanding jangkaan jika situasi COVID-19 semakin memburuk atau kelewatan dalam program vaksin. 

 

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan telah memaklumkan sebelum ini, defisit fiskal akan mencecah 6% tahun ini, dengan menambah ia mungkin kekal tinggi sebagai hasil daripada pengembangan dasar fiskal. 

 

Secara dasarnya, jumlah hutang kerajaan kepada KDNK disemak kepada 64.1% berbanding unjuran sebelum itu, 64.2%, dengan peningkatan RM96.4 bilion yang mana ia sejajar dengan kenyataan Kementerian Kewangan pada April bahawa hutang akan meningkat kepada RM975.0 bilion tahun ini. 

 

Berdasarkan data terkini Bank Negara Malaysia (BNM), hutang kerajaan persekutuan mencapai rekod tinggi pada Mac 2021 iaitu RM37.9 bilion bagi suku ke suku kepada RM917.5 bilion. 

 

Walaupun hutang kerajaan persekutuan tetap meningkat, had hutang berkanun (pinjaman domestik melalui MGS, MGII, MITB) berada pada 58.3% pada 2020, sedikit rendah daripada had berkanun 60.0% yang dikenakan.

 

"Pada tahap hutang berkanun hampir mencecah 60.0%, kami berpendapat kerajaan masih ada ruang untuk meningkatkan tambahan hutang domestik sebanyak RM23.4 bilion tahun ini dan RM11.3 bilion menerusi pinjaman luar pesisir.

 

"Secara keseluruhan, kerajaan boleh meminjam sehingga sekitar RM34.8 bilion tahun ini, menunjukkan kemampuan kerajaan meningkatkan pinjaman adalah sentiasa terhad.

 

"Tetapi, dengan perintah darurat, kami jangkakan kerajaan mungkin melepasi had berkanun itu memandangkan perbelanjaan yang tinggi diperlukan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi pada masa depan," jelasnya. 

 

Malah, firma itu juga menjangkakan, harga minyak mentah Brent yang tinggi akan terus menyokong kedudukan fiskal. 

 

Ia mengekalkan unjuran Brent akan berlegar pada AS$ setong, lebih rendah berbanding unjuran Agensi Maklumat Tenaga (EIA) pada AS$62.3 setong tetapi di bawah unjuran Kementerian Kewangan, AS$42 setong di bawah Belanjawan 2021. 

 

Kenanga Research juga berkata, BNM juga dilihat akan mengekalkan kadar dasar semalaman pada 1.75% walaupun terdapat potensi kadar itu dikurangkan. 

 

Ini mengambil kira prospek pemulihan yang kukuh disokong oleh permintaan luaran dan program vaksinasi di peringkat global.

 

Tempoh PKP 3.0

 

Sementara itu, CGS-CIMB berkata, dengan beberapa SOP diperketatkan, ia dijangka meningkatkan risiko kepada hasil memandangkan kerajaan dilihat seolah-olah mahu mengurangkan produktiviti syarikat pembuatan dengan mengurangkan sehingga 60% pekerja dan mengurangkan operasi kedai di pusat beli belah. 

 

Operasi kasino pula, katanya, akan digantung susulan laporan oleh Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengarahkan penutupan kasino di Genting Highland. 

 

"Tetapi sebenarnya, kesan ke atas pendapatan ini bergantung kepada berapa lama PKP 3.0 ini dikuatkuasakan. 

 

"Namun, kami jangkakan, ia akan menjejaskan sentimen jangka pendek dan negatif kepada saham-saham ke arah pemulihan seperti perbankan, automatif, hartanah, pembinaan dan berkaitan pelancongan disebabkan kebimbangan risiko ke atas pendapatan," katanya. 

 

Situasi ini akan menyaksikan pelabur beralih kepada saham-saham yang lebih berdaya tahan seperti utiliti, telekomunikasi, pengeluar sarung tangan dan perladangan sehingga kes COVID-19 semakin perlahan dan kadar vaksinasi meningkat. 

 

"Untuk itu, kami mengekalkan sasaran KLCI pada 1,699 mata dengan pilihan tiga saham utama iaitu Inari, Public Bank dan Telekom Malaysia," jelas firma itu. - DagangNews.com