Tapak projek UEM Sunrise di Gerbang Nusajaya diunjur beri impak positif kepada kumpulan | DagangNews Skip to main content

Tapak projek UEM Sunrise di Gerbang Nusajaya diunjur beri impak positif kepada kumpulan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mac - RHB Investment mengunjurkan tapak projek UEM Sunrise Bhd di Gerbang Nusajaya, Johor akan memberi impak positif kepada kumpulan berdasarkan kepada prospek pembangunannya.

 

Katanya, pengambilalihan tanah daripada Ascendas Land pada penghujung 2022 merupakan petanda permintaan kukuh bagi pembangunan perindustrian pada masa akan datang.

 

“Pusat data dan kilang baharu sedang dalam pembinaan. Kumpulan itu juga menukar tanah seluas 146.1 hektar kepada zon perindustrian bagi pembangunan segera sama ada menerusi jualan langsung atau usaha sama (JV).

 

“Kawasan yang belum dibangunkan seluas 1,214 hektar di kawasan itu (termasuk JV) sedang menunggu penarafan semula selanjutnya," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Taman Teknologi Nusajaya (NTP) yang merupakan projek JV antara UEM Sunrise dan Ascendas, sudah mula sibuk.

 

“Selain kilang lain yang sudah beroperasi, GDS Holdings Ltd, yang merupakan pembangun dan pengendali pusat data terkemuka, sedang membina kampus pusat datanya di NTP.

 

“Bakery Paris Baguette, yang dimiliki oleh Kumpulan SPC Korea Selatan, juga sedang membina kilang pembuatan halal globalnya yang pertama di Asia Tenggara," katanya.

 

RHB Investment berkata, pengurusan kumpulan menunjukkan bahawa permintaan terhadap pembangunan industri meningkat dengan pantas semasa ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, sambil menambah bahawa pembukaan semula pasca COVID-19 mempercepatkan lagi pengembangan operasi syarikat multinasional.

 

“Trend itu sejajar dengan rakan industri lain, seperti AME Elite Consortium Bhd, yang turut mencatatkan permintaan kukuh sejak beberapa tahun ini," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun pengurusan menetapkan sasaran jualan lebih rendah bagi FY24, namun mereka yakin terhadap prospek kumpulan itu di Iskandar Malaysia.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.60 sesaham," katanya. - DagangNews.com