Taraf saranan 7-Eleven dinaikkan kepada ‘pegang’ berikutan keputusan 2QFY23 dalam jangkaan – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Taraf saranan 7-Eleven dinaikkan kepada ‘pegang’ berikutan keputusan 2QFY23 dalam jangkaan – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menaikkan taraf saranan 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd kepada ‘pegang’ daripada ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM2.10 sesaham susulan keputusan suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) dalam jangkaan.

 

Selepas mencatat untung bersih sebanyak RM25 juta dalam 2QFY23, firma itu berkata 7-Eleven mencatat keuntungan bersih separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) sebanyak RM41 juta, merangkumi anggaran pendapatan setahun penuh Maybank IB dan konsensus masing-masing pada 54% dan 50%.

 

Menurut firma penyelidikan itu, momentum jualan dijangka semakin berkurangan pada suku-suku mendatang akibat ketiadaan perbelanjaan perayaan dan sentimen pengguna yang lemah.

 

“Namun kami optimis terhadap usaha kumpulan untuk mempertahankan margin dengan mengembangkan barangan makanan segar dengan margin yang lebih tinggi melalui rangkaian meluas kedai 7 cafe,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma berkata pertumbuhan pendapatan kumpulan pada suku dalam tinjauan sebanyak 13% tahun ke tahun telah didorong oleh segmen kedai serbaneka dan segmen runcit farmasi.

 

Menurut Maybank IB, segmen kedai serbaneka mencatatkan pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) positif dengan peningkatan 10.5% tahun ke tahun (YoY) dalam suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), diterajui oleh bilangan pembeli yang kukuh di kedainya ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri.

 

Manakala jualan runcit farmasi didorong oleh sumbangan tambahan daripada kedai baharu.

 

Bagaimanapun, pertumbuhan untung kasar mengecil sebanyak 8.6% YoY dengan marginnya susut 1.1 mata peratusan YoY, disebabkan campuran produk yang lebih lemah dalam runcit farmasi.

 

“Keuntungan sebelum cukai kumpulan jatuh 9% YoY pada 2QFY23 disebabkan peningkatan kos jualan dan pengedaran, terutamanya daripada waktu operasi kedai yang lebih panjang dan peningkatan keseluruhan tenaga kerja runcitnya,” tambahnya.

 

Pada akhir Jun 2023, 7-Eleven mempunyai jumlah kedai serbaneka sebanyak 2,499 kedai, termasuk 144 7 cafe dan 239 kedai farmasi.

 

Pada waktu penulisan, saham 7-Eleven susut 5 sen atau 2.5% kepada RM1.95 dengan permodalan pasaran sebanyak RM2.28 bilion. - DagangNews.com