Taraf saranan AME-REIT diturunkan kepada 'Neutral' dengan TP RM1.42 sesaham - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Taraf saranan AME-REIT diturunkan kepada 'Neutral' dengan TP RM1.42 sesaham - RHB Investment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Feb - RHB Investment Bank menurunkan taraf saranan AME Real Estate Investment Trust (AME-REIT) kepada 'Neutral' daripada 'Beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.42 sesaham.

 

Menurut firma penyelidikan itu, ini berikutan kebanyakan faktor yang dapat meningkatkan harga saham AME-REIT sudah pun diambil kira. 

 

"Hal ini lebih-lebih lagi apabila tiada pengambilalihan baharu diumumkan sepanjang tahun lalu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Jelas RHB Investment, ia kini menilai AME-REIT pada RM1.42 setelah mengambil kira premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) 2%, berdasarkan skor ESG 3.1 yang diberi kepada REIT. 

 

"Risiko-risiko utama ialah kadar pengambilalihan aset yang lebih perlahan atau laju daripada yang dijangka, pertumbuhan ekonomi yang kian meningkat atau perlahan dan kadar turun naik harga sewa lebih tinggi atau rendah daripada jangkaan," ujarnya.

 

Sementara itu, kata RHB Investment, untung teras pada suku ketiga bagi tahun kewangan 2024 sebanyak RM8.8 juta yang membawa perolehan kepada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024 sebanyak RM25.5 juta. 

 

Katanya, keputusan ini mencapai 74-75% daripada yang dianggarkan dan konsensus dengan tiada perbandingan kumulatif tahun ke tahun dapat dibuat kerana REIT ini hanya tersenarai pada 20 September 2022. 

 

"Secara perbandingan suku tahun ke suku tahun, hasil dan pendapatan hartanah bersih (NPI) menokok 5% dan 7% disebabkan oleh pengambilalihan Plot 16 Indahpura pada 16 Oktober 2023 dan juga kadar turun naik harga sewa lebih tinggi," jelasnya.

 

Jelas RHB Investment, daripada 12 sewaan yang bakal tamat tempoh pada tahun kewangan 2024, REIT ini telah merunding semula pembaharuan untuk 92% daripada ruang tersebut dengan kadar pembaharuan mencecah 83%.

 

Kata beliau, ia juga berjaya mendapatkan penyewa baharu sebagai pengganti, lantas mengekalkan kadar penghunian REIT pada 100%. 

 

"Hanya dua sewaan bakal tamat tempoh pada tahun kewangan 2025, maka risiko negatif terhadap kadar penghunian dilihat tidak ketara," ujarnya.

 

Menurut firma itu, Plot 16 Indahpura menandakan selesainya tiga suntikan aset yang dicadangkan daripada tawaran awal awam (IPO) AME-REIT, namun tiada pengambilalihan baharu diumumkan sejak itu. 

 

Katanya, hal ini utamanya disebabkan oleh hasil yang menyusut dalam pasaran berikutan aset-aset perindustrian yang berkembang pesat.

 

"Sehubungan itu, kami berpendapat perancangan untuk mengambil alih aset-aset baharu daripada Penajanya dapat menyokong strategi pertumbuhan pengambilalihan REIT ini. 

 

"Namun begitu, buat masa ini kami berpendirian konservatif terhadap kadar pengambilalihan aset," katanya. - DagangNews.com