Taraf saranan CelcomDigi dinaikkan kepada 'Beli', prospek positif jangka panjang - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Taraf saranan CelcomDigi dinaikkan kepada 'Beli', prospek positif jangka panjang - AmInvestment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Julai - AmInvestment Bank Research (AmInvestment) menikkan taraf saranan CelcomDigi Bhd kepada 'Beli' daripada 'Pegang' dengan nilai wajar tidak berubah pada RM4.50 sesaham.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penilaian CelcomDigi adalah murah berikutan harga sahamnya menyaksikan penurunan sebanyak 13% sejak enam bulan lalu.

 

AmInvestment turut menjankakan prospek CelcomDigi adalah positif dalam jangka Panjang dengan Digi telah membawa beberapa amalan ESG Telenor ke dalam operasi CelcomDigi. 

 

"Sebagai pengendali telekom terkemuka di Eropah, Telenor menerima pakai amalan terbaik global dalam kemampanan. Hasilnya, prestasi ESG CDB kini sejajar dengan piawaian Telenor," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut AmInvestment CelcomDigi juga mendapat manfaat daripada pemodenan tapak selepas penggabungan dengan peluang untuk menaik taraf kepada teknologi yang lebih hijau dan lebih cekap. 

 

"Pada masa ini, CelcomDigi menggunakan UBR Tri-band yang cekap tenaga daripada radio lama. Pemodenan ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kesan alam sekitar dan menyokong pertumbuhan yang mampan," jelasnya.

 

Kata firma penyelidikan itu, CelcomDigi telah bekerjasama dengan lebih daripada 40 pemain teknologi global dan ekosistem tempatan yang terkenal untuk mempercepatkan pembangunan penyelesaian digital termaju. 

 

"Pelaburan oleh CelcomDigi dan rakan kongsinya telah mencecah RM55 juta," ujar firma penyelidikan itu.

 

Selanjutnya, CelcomDigi juga dijangka menikmati penjimatan kos daripada "rangkaian yang diperkemas dan penghapusan kos organisasi IT pendua," tambahnya.

 

AmInvestment menyertai senarai firma penyelidikan yang menyemak naik taraf saranan mereka ke CelcomDigi untuk 'Beli' termasuk CIMB Securities dan TA Securities. - DagangNews.com