Tawaran ambil alih KUB Malaysia tidak adil dan tidak wajar, Inter-Pacific saran pemegang saham tolak tawaran | DagangNews Skip to main content

Tawaran ambil alih KUB Malaysia tidak adil dan tidak wajar, Inter-Pacific saran pemegang saham tolak tawaran

Oleh DIYANA ISAMUDIN

​KUALA LUMPUR 8 Feb - Inter-Pacific Securities Sdn Bhd menganggap tawaran pengambilalihan mandatori bersyarat oleh pemegang saham utama JAG Capital Holdings Bhd, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ke atas KUB Malaysia Bhd sebagai ‘tidak adil dan tidak wajar’, justeru menyarankan pemegang saham menolak tawaran tersebut.

 

Penasihat bebas itu menjelaskan bahawa harga tawaran 60 sen sesaham mewakili pengurangan antara 68 sen (53.13%) dan 73 sen (54.89%) melebihi nilai anggaran sesaham KUB berdasarkan kaedah penilaian jumlah bahagian (SOPV), antara RM1.28 hingga RM1.33 sebelum pengambilalihan selesai.

 

Ia juga dilihat bernilai rendah antara 47 sen (43.94%) dan 75 sen (55.56%) berbanding anggaran nilai sesaham KUB menggunakan kaedah SOPV, antara RM1.07 hingga RM1.35 selepas selesai pengambilalihan.

 

Di samping itu, Inter-Pacific berpendapat bahawa tawaran berkenaan tidak wajar kerana saham KUB, termasuk sebarang saham baharu yang mungkin diterbitkan berikutan penukaran saham keutamaan boleh tukar boleh tebus, masih boleh didagangkan di Pasaran Utama Bursa Malaysia jika JAG Capital berhasrat mengekalkan status penyenaraian KUB.

 

“Ini memberi peluang kepada pemegang saham untuk merealisasikan pelaburan mereka pada harga pasaran semasa selepas tarikh tutup, meskipun tiada jaminan bahawa harga saham dan nilai dagangan akan kekal sama,” katanya dalam nota pekeliling kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Pada 10 Januari, JAG Capital Holdings Bhd telah mencetuskan tawaran am mandatori (MGO) untuk KUB selepas membeli 1.79 juta saham KUB dalam pasaran terbuka, yang meningkatkan pegangan sahamnya dalam entiti itu melebihi ambang 33%.

 

Johari, yang juga Menteri Industri Perladangan dan Komoditi, memegang 98.75% kepentingan dalam JAG. Tawaran pengambilalihan itu adalah susulan cadangan untuk menyuntik 86.65% pegangan JAG dalam kabel dan pengeluar wayar Central Cables Bhd (CCB) ke dalam KUB sebagai pertukaran untuk saham keutamaan KUB bernilai RM119.42 juta.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Johari Ghani kini miliki 33% saham KUB, sekaligus cetuskan tawaran am mandatori

 

JAG menyatakan bahawa ia tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian KUB sekiranya ia memperoleh 90% daripada semua saham KUB, tetapi akan mengekalkan penyenaraian KUB jika ia memperoleh antara 75% dan 90% pegangan saham.

 

Saham KUB didagang tidak berubah pada 57.5 sen pada 4:31 petang ini, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM320 juta.  - DagangNews.com