TDM bayar perkongsian keuntungan RM2.9 juta kepada LTAWNT | DagangNews Skip to main content

TDM bayar perkongsian keuntungan RM2.9 juta kepada LTAWNT

Najman (kanan) menyerahkan cek kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A Rahman (kiri) dan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Pengerusi TDM, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil di Wisma Darul Iman, hari ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Jan - TDM Berhad membayar sejumlah RM2.9 juta kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) sebagai sebahagian daripada perjanjian perkongsian keuntungan usaha sama syarikat.

 

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, keuntungan usaha sama yang dikongsi itu membuktikan komitmen syarikat dalam memberikan pulangan mampan bagi setiap pelaburan yang diamanahkan.

 

“Syarikat sekali lagi berpeluang menjana keuntungan usaha sama yang lebih besar buat LTAWNT.

 

“Pencapaian ini turut disumbangkan oleh pelaksanaan pelan perniagaan strategik syarikat yang dijalankan secara berdisiplin dan sokongan berterusan tidak berbelah bahagi daripada kakitangan syarikat yang berdedikasi,” katanya.

 

 

Najman (kanan) menyerahkan cek kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A Rahman (kiri) dan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Pengerusi TDM, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil di Wisma Darul Iman, hari ini.

 

 

LTAWNT memiliki ladang kelapa sawit seluas 1,336 hektar yang terletak di Ladang Air Putih, Kemaman yang diuruskan oleh bahagian perladangan TDM, iaitu TDM Plantation Sdn Bhd, menerusi usaha sama yang dimeterai oleh kedua-dua syarikat pada 1996.

 

Syarikat juga secara strategik akan terus memberi tumpuan dalam meningkatkan jualan minyak sawit mampan diperakui (CSPO) dan isirung sawit mampan diperakui (CSPK) bagi memanfaatkan premium CSPO dan CSPK yang lebih tinggi.

 

Najman berkata TDM akan terus mengekalkan momentum dengan memberi tumpuan penuh dalam meningkatkan kelestarian dan jangka hayat Bahagian Perladangan.

 

“Kami yakin perkara ini dapat dicapai dengan menggunakan teknik inovatif bagi meningkatkan kecekapan, mengurangkan keperluan tenaga buruh, sekali gus mencapai hasil jangka panjang yang maksimum,” tambahnya.

 

Selain perladangan, TDM juga terlibat dalam perniagaan penjangaan kesihatan dan memiliki lima hospital pakar di bawak anak syarikatnya, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare).  - DagangNews.com